KERLING, SELANGOR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan misi bantuan pasca banjir di Daerah Kerling, Selangor dengan menghantar ResQ Team UPSI setelah mendapat tahu beberapa buah rumah telah terjejas akibat hujan yang berterusan bermula 12.30pm pada 16 Mei 2022 yang menyebabkan limpahan air sungai sehingga berlakunya banjir.

ResQ Team UPSI membantu Encik Muhammad Fahmi bin Jaafar (60 tahun), antara mangsa banjir di Kampung Jawa yang merupakan bapa kepada tiga orang anak. Muhammad Aidil Fazri (18 tahun), anak kedua Encik Fahmi merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai penyakit Cerebral Palsy iaitu kesukaran melakukan pergerakan otot yang dikehendaki untuk memposisikan dan mengekalkan postur badan pada kedudukan yang betul.

Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah (kiri) bersama YB Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyantuni mangsa banjir.
Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah (kiri) bersama YB Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyantuni mangsa banjir.

ResQ Team UPSI juga turut bersama-sama menyalurkan khidmat tenaga dalam membantu mangsa banjir di Kampung Pasir dan Kampung Jawa, Kerling. Atas usaha dan semangat gotong-royong antara sukarelawan dan penduduk ResQ Team UPSI berjaya membersihkan sebanyak enam  buah  rumah yang terjejas akibat banjir yang berlaku.

Turut hadir sama, YB Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menziarahi dan menyantuni mangsa banjir di tempat yang sama untuk memberi semangat selain bertanya khabar dan situasi yang dihadapi oleh mangsa.

Misi bantuan pasca banjir di Kerling, Selangor ini diketuai oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah bersama-sama 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada sembilan orang kakitangan dan 11 orang ResQ Siswa yang merupakan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program bantuan sukarelawan pada kali ini menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan sebuah bas untuk menjalankan misi bantuan pasca banjir di Kerling, Selangor.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, semangat sukarelawan dan kemasyarakatan yang tinggi melatih ResQ Team UPSI sentiasa bersiapsiaga sepanjang masa tampil membantu setiap kali masyarakat ditimpa musibah banjir. Khidmat tenaga yang disalurkan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada semua sukarelawan atas komitmen yang tinggi dan keprihatinan yang ditonjolkan. Beliau berharap agar ResQ Team UPSI terus bersemangat dalam melaksanakan misi bantuan demi keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat yang ditimpa bencana.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)