oleh: Azyan Amira Awai
Taiping, 14 Mei 2022 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah menganjurkan sebuah program khidmat masyarakat di Zoo Taiping. Seramai 28 orang mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kursus dan tahun yang berbeza berganding bahu membersihkan kawasan di dalam zoo.
Program ini dianjurkan adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiwa mengenai tanggungjawab diri terhadap flora dan fauna serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa-mahasiswa ini. Hal ini kemudian akan memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam diri mahasiswa serta melahirkan masyarakat yang lebih menghargai alam sekitar.
Pembahagian kumpulan kepada tiga buah kumpulan menjadikan kerja-kerja pembersihan menjadi lebih cepat dan menjimatkan masa. Tidak sampai lima jam, para mahasiswa sudah dapat menyempurnakan tugasan yang diberikan oleh pihak Zoo Taiping.
Peserta bukan sahaja dapat memberikan khidmat kepada pihak zoo, malah mereka dapat menambah serba sedikit ilmu tentang tugas-tugas yang dilakukan oleh pihak penjaga zoo di samping mendekati haiwan-haiwan di dalam zoo tersebut. Peserta dapat menambah pengetahuan mereka tentang beberapa spesies haiwan yang terdapat di dalam zoo tersebut, sebagai contoh, gajah, singa, babi hutan dan burung-burung yang mempunyai habitat dikawasan Taiping.
Di akhir program, pihak UKLK membawa peserta ke muzium negeri Perak yang berada di Taiping. Di muzium ini, peserta dapat mempelajari serba sedikit tentang sejarah negeri Perak yang belum diketahui mereka.
Semoga program-program sebegini dapat dijalankan lagi demi memberikan pengetahuan lebih tentang flora dan fauna di Malaysia serta dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa mahupun masyarakat.