oleh: Mohd Raizol Ramli (Felo UKLK)
Slim River, Perak 20 Mei 2022 – Peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik yang diumumkan kerajaan pada 1 April lalu telah memberi sinar baru kepada rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam ketakutan dan kewaspadaan. Aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal yang selama ini disekat telah mula diberi kelonggaran oleh pihak kerajaan.
Kelonggaran yang diberikan tidak disia-siakan dan telah dimanfaatkan dengan amat baik oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dimana mereka menggunakan peluang yang ada untuk melakukan aktiviti bersemuka dengan anak yatim di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Zakat Baitul Mahabbah, Slim River, Perak.
Program yang berlangsung dari 10.00 pagi sehingga 6.00 petang itu menyaksikan hubungan antara dua pihak semakin erat dikuatkan lagi dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang seperti sesi ice breaking, aktiviti uji minda serta aktiviti keyakinan diri. Objektif aktiviti-aktiviti ini dijalankan adalah untuk menguji minda serta meningkatkan keyakinan dalam diri mereka untuk tidak malu berdepan orang ramai.
Pengarah Program, Anis Salwani Binti Mohd Asri, berkata “program kesukarelawan ini telah lama dirancang tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terpaksa menangguhkannya untuk satu masa yang sesuai. “Kesukarelawan pendidikan ini merupakan satu usaha kami bagi meningkatkan kepentingan ilmu dan pengetahuan dalam kalangan anak-anak yatim ini. Sepanjang program berlangsung, kami amat seronok kerana mereka dapat menghayati dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dirancang. Kami juga amat berpuas hati dan tenang kerana dapat mengadakan aktiviti bersama-sama anak-anak syurga”,ujar beliau.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Prof. Madya Ts Dr. Che Ghani bin Che Kob, Pengetua UKLK dan Felo Penasihat Program Encik Hanafi Junit, Felo Exco Komuniti Setempat dan Kesukarelawan Encik Mohd Raizol Ramli, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan barisan ahli jawatankuasa program yang terdiri daripada mahasiswa UPSI.