oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Unit Foto BKK UPSI
Tanjung Malim – Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini berkenan berangkat mencemar duli meraikan majlis sambutan Aidilfitri dan sambutan permasyhuran 25 tahun UPSI.
Majlis yang dianjurkan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah tersebut dihadiri lebih 5 ribu pengunjung yang terdiri daripada pelajar, warga universiti, penduduk sekitar Muallim serta rakan media adalah kali pertama dianjurkan selepas negara memasuki fasa endemik.
Baginda turut berkenan untuk lafaz titah Majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI yang akan membantu penjanaan universiti dengan lebih mampan.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI mensasarkan untuk muncul sebagai universiti seratus tercemerlang di dunia dalam bidang pendidikan seterusnya merapatkan ukhuwah komuniti melalui pelbagai program usahasama pendidikan, pemantapan ekonomi, kesukarelawanan dan pembangunan selaras hasrat negara memasyarakatkan universiti,
“Tahun ini genaplah 25 tahun penubuhan universiti yang ulung lagi bersejarah ini. Tanggal keramat 1 Mei 1997, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dinaik taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997,” katanya.
“Malah UPSI amat berbangga apabila akan libat urus bersama Proton – Geely, DRB Hicom dan industri setempat diharapkan dapat membantu industri automotif negara disamping memacu kemajuan ekonomi di Daerah Muallim yang bertuah ini,” jelasnya ketika ucapan alu-aluan.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Mohd Noor – Isteri kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja serta Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom.
turut diterbitkan di media: Bernama, AstroAwani, Harian Metro, Suara Merdeka, MalaysiaGazette, KOSMO!, Careta,
