oleh: Nor Hayati Aziz (Pusat Ulul Albab UPSI)
8 Jun 2022 – Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan dari Madrasah Cheras Perdana untuk program Sahabat Madrasah dengan kerjasama PUA UPSI, Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), dan Madrasah Cheras Perdana. Program ini disertai oleh 32 orang pelajar dan 10 orang guru pengiring dari Madrasah Cheras Perdana. Program ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan pelajar Madrasah Cheras Perdana kepada alam pendidikan universiti.
Yang Dipertua Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), iaitu saudara Muhammad Faizul Nazrul berkata program seumpama ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar Madrasah Cheras Perdana
berkenaan alam universiti. “Program Sahabat Madrasah ini adalah salah satu program yang baik untuk dilaksanakan. Di samping memberi peluang pelajar menerokai universiti, ianya juga dapat memberikan pendedahan kepada adik-adik dari Madrasah Cheras Perdana berkenaan alam universiti kelak”.
Program ini dilihat sebagai satu peluang yang baik untuk mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari berteraskan 3 elemen Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
Menurut Professor Dr. Abdul Halim bin Ali, program sebegini perlu diadakan lagi pada
masa yang akan datang untuk mendedahkan pelajar tentang kehidupan universiti yang
bakal mereka tempuhi.
Setiausaha Madrasah Cheras Perdana, Encik Wan Mahmud bin Wan Harun
menyambut baik saranan Prof Dr. Halim Ali untuk mengunjungi UPSI pada masa akan
datang dan diharapkan agar program seperti Sahabat Madrasah ini boleh dilaksanakan
pada masa akan datang dengan jalinan antara pelbagai jenis sekolah dan institusi
sekaligus meningkatkan keterlihatan Ulul Albab dengan moto ‘Always the best’.
Dr Sakinah dalam slot beliau menjelaskan bahawa pelajar-pelajar yang hadir adalah
bakal pemimpin yang akan menyambung legasi negara. Oleh itu, pendedahan awal
tentang kehidupan universiti adalah penting untuk pelajar bersiap siaga untuk
menempuhi kehidupan yang akan datang.