Tanjung Malim – Buat julung-julung kalinya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf QS University World Ranking sebagai kedudukan 801-1000 terbaik dunia.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, universiti pendidikan tersebut telah diiktiraf 205 terbaik QS World University Ranking peringkat Asia dan mencapai tahap 201-250 dalam subjek pendidikan sejak tahun 2017.

“QS World University Ranking merupakan suatu penarafan antarabangsa bagi institusi pengajian tinggi yang mengambil enam aspek penilaian utama berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah bilangan pensyarah dengan pelajar, petikan akademik pensyarah, nisbah pensyarah antarabangsa dan nisbah pelajar antarabangsa,

“Pencapaian ini membuktikan komitmen UPSI untuk memperkasakan aspek pengantarabangsaan khususnya dalam bidang pendidikan,

“Berita baik ini lebih menggembirakan apabila pusat pengajian terulung ini bakal menyambut ulangtahun seabad penubuhan pada 22 November tahun ini,” jelasnya dalam suatu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Profesor Madya Dr Azmi Mohamed berkata, menerusi kejayaan yang dicapai hari ini, UPSI berhasrat meneruskan agenda kolaborasi antarabangsa universiti terkemuka dalam bidang pendidikan.

“UPSI optimis untuk menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu dengan mengukuhkan penarafan yang lebih tinggi hingga kedudukan 500 terbaik dunia.

“Pada masa yang sama, UPSI akan menggembleng tenaga ke arah kerjasama dengan universiti ternama antarabangsa selaras pelan strategik yang telah ditetapkan pengurusan,” jelasnya lanjut.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my