oleh: Siti Musfirah Idris (UKLK)
TANJONG MALIM, 22 JUN 2022 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah menganjurkan satu program “Bicara Ekonomi: Jom Buat Duit dengan Saham” pada 22 Jun 2022.
Program ini dianjurkan oleh Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus berlangsung secara dalam talian Google Meet dan bersiaran langsung di laman rasmi Facebook Unit Kediaman Luar Kampus.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dengan tontonan lebih 2 ribu menerusi laman facebook UKLK.
Menampilkan seorang panel yang cukup hebat dan berpengalaman mengenai saham iaitu Muhammad Rafiq Jajuli yang merupakan perunding saham Investment Bank di Malaysia.
Menerusi perkongsian beliau, buat duit dengan saham memerlukan dua transaksi penting iaitu yang pertama adalah dengan membeli saham yang betul, berpotensi serta mempunyai nilai masa depan yang bagus.
Ini bermaksud digalakkan untuk membeli jualan saham yang sedang meningkat naik up trend pada masa kini.
Keduanya, untuk melengkapkan dan inginkan keuntungan tersebut hendaklah melakukan jualan yang tepat.
Apabila kita sudah beli saham yang bagus, kita jual maka barulah kita mendapat keuntungan tersebut. Oleh itu, saham memerlukan dua transaksi penting iaitu beli dan barulah saham itu dijual ketika waktu yang sesuai.
“Perkara penting sebelum memulakan saham adalah dengan membuka akaun saham dan akaun CDS (Central Depository System) melalui perunding yang betul.
Hal ini kerana ramai masyarakat kini yang mudah tertipu dengan pembukaan saham tanpa akaun. Golongan ini biasanya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan dengan aktiviti pelaburan. Apa yang mereka tahu cuma inginkan pulangan yang berlipat kali ganda,” jelasnya lanjut.
Salah seorang peserta program, Siti Musfirah Idris, 23, berpendapat bahawa program ini merupakan program yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya mahasiswa tentang langkah untuk memulakan simpanan saham.
Program seperti ini haruslah diteruskan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang langkah yang betul sebelum memulakan pelaburan.
“Ini merupakan kali pertama saya mengikuti program saham seperti ini. Banyak yang saya telah perolehi melalui program ini antaranya ialah langkah yang harus dilakukan untuk memulakan pelaburan iaitu dengan membuka akaun terlebih dahulu dan program ini secara tidak langsung mendidik diri saya untuk menabung di usia muda.
Saya berharap agar program seperti ini akan dianjurkan lagi dan dapat menarik lebih ramai lagi peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertai program ini” jelasnya.
Intihannya, program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dan orang awam berkaitan saham sekaligus dapat melahirkan individu yang bijak mengambil peluang dalam pengurusan kewangan terutamanya di era ketidakstabilan ekonomi ini.
Semoga segala perkongsian daripada panel hebat ini dapat membuka mata masyarakat mengenai saham dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
turut disiarkan di: Sinar Bestari