oleh: Muhammad Shahrul Mizan bin Mohamed Nizam (Unit Hal Ehwal Pelajar & Alumni & Penerbitan), UPSI
MUALLIM 18 Jun 2022 – Sempena Istiadat Konvokesyen ke-23, seramai 51 graduan Program
Pengajian Siswazah diraikan oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) dalam Majlis Apresiasi Graduan Pengajian Siswazah pada 17 Jun yang lepas. Majlis ini
telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Madya Dr.
Norkhalid bin Salimin. Dalam majlis ini juga terdapat beberapa acara yang disampaikan seperti
tayangan video Montaj Pemenang Anugerah sempena Majlis Apresiasi Graduan Pengajian Siswazah
2021.
Dekan Institut Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun berkata, majlis ini
bermatlamat untuk meraikan graduan pengajian siswazah UPSI yang telah bergraduat di peringkat
Ijazah Sarjana mahupun Ijazah Doktor Falsafah.
Selain memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para graduan Pengajian Siswazah. Antara
pengiktirafan yang cemerlang, majlis ini turut memberi penghormatan kepada Pemenang Anugerah
Bitara yang terdiri daripada graduan program Ijazah Doktor Falsafah, iaitu saudara Mohd Fauzi bin
Harun, graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengkhususan dalam Pengiklanan dan saudara William Choo
Keng Soon, graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengkhususan dalam Ekonomi Kewangan. Anugerah ini
disampaikan kepada pemenang dan juga kepada penyelia pemenang. Bagi Pemenang Anugerah Tesis
Kepimpinan Pendidikan (MSEAM) 2021, anugerah disampaikan kepada saudari Zuriani Hanim binti
Zaini, graduan Ijazah Sarjana Pendidikan Pengkhususan dalam Pengurusan Pendidikan.
Melalui majlis ini, diharapkan semua graduan sentiasa bersemangat bagi meneruskan perjuangan
dalam menimba ilmu dan mencipta lebih banyak pencapaian pada tahap pengajian yang lebih tinggi.