oleh: Muhammad Shahrul Mizan bin Mohamed Nizam (Unit Hal Ehwal Pelajar & Penerbitan, Institut Pengajian Siswazah UPSI)
MUALLIM 29 Jun 2022 – Pada 28 Jun lepas, pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) peringkat kebangsaan telah dianjurkan oleh dua buah universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tekonologi MARA (UiTM). Pertandingan ini dijalankan secara dalam talian. Pertandingan 3MT adalah satu pertandingan komunikasi penyelidikan yang dibangunkan oleh University of Queensland sejak tahun 2008.
Pertandingan ini membangunkan kemahiran akademik, persembahan, dan komunikasi penyelidik serta menyokong pembangunan kapasiti pelajar dengan berkesan untuk menerangkan penyelidikan mereka dalam tempoh tiga (3) minit. Pertandingan ini dibuka kepada semua pelajar Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia dengan tiga kategori berbeza iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Sains dan Sains Sosial.
Bagi peringkat kebangsaan, pertandingan ini akan melibatkan tiga (3) orang pelajar Doktor Falsafah yang telah memenangi pertandingan 2022 3MT Virtual Three Minute Thesis Competition peringkat dalaman seterusnya mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris. Medium bahasa bagi pertandingan ini ialah Bahasa Inggeris. Sebelum pertandingan ini dijalankan, UPSI telah menghantar tiga orang peserta yang mewakili UPSI dalam kategori sains sosial iaitu Yoong Soo May, pelajar Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) beserta tajuk kajian “Dyscalculia” dan Chuah Kee Ping, pelajar Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dengan tajuk kajian “MyDialogKopitiam Module”.
Manakala Rosmanisah binti Mohamat, pelajar Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) pula tersenarai dalam kategori Kejuruteraan danTeknologi beserta tajuk kajian “Clean Water for All”.
Pada hari pertandingan dijalankan, Yoong Soo May telah berjaya mara ke peringkat akhir sekaligus dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori Sains Sosial. Menurut Yoong Soo May, kejayaan yang dicapai pada hari tersebut merupakan pencapaian yang sangat membanggakan buat diri, keluarga dan seluruh warga UPSI yang menyumbang.
Konklusinya, pertandingan ini berperanan membangunkan kemahiran komunikasi akademik, pembentangan dan penyelidikan sambil membangunkan keupayaan calon penyelidikan untuk menerangkan penyelidikan mereka secara berkesan, dalam bahasa yang sesuai kepada khalayak bukan pakar.
Nota Pengarang: Sertailah apa pertandingan sekalipun, UPSI pasti cemerlang dalam setiap acara. Paling tidak mesti ada hasil, jarang balik tangan kosong. Tahniah!