Sentul, Kuala Lumpur – Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Global Unity dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) telah mengikuti kursus Creating Interfaith Activist (CIA) dan Unity Friendly Outreach (UFO) selama 3 hari bertempat di Global Unity, Plaza Pekeliling, Kuala Lumpur. Seramai 26 orang ahli KeSUA dan 5 orang kakitangan PUA telah terpilih untuk mengikuti kursus ini.

Pada hari pertama kursus, peserta didedahkan dengan tips dan teknik untuk berdakwah secara harmoni dan peserta dilatih untuk menguasai teori yang dipelajari. Kursus ini bukan sahaja berfokuskan tentang teknik dakwah yang perlu peserta kuasai, malahan pendedahan secara praktikal juga dititik beratkan. Peserta diberi tugasan yang berbentuk praktikal dan setiap kumpulan harus membentangkan tugasan tersebut sebelum mereka keluar menjalankan dakwah lapangan untuk menyampaikan mesej tentang keindahan islam kepada khalayak ramai dan membetulkan salah faham terhadap Islam dalam kalangan masyarakat.

Setelah didedahkan dengan tips dan teknik dakwah, pada hari kedua, peserta dibawa turun menjalankan dakwah lapangan di sekitar Kuala Lumpur. Mereka diminta menyantuni pelancong tempatan dan juga dari luar negara serta mengadakan soal selidik dan dialog bagi memupuk persefahaman dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa. Peserta dapat merasai sendiri pengalaman berdakwah atau lebih dikenali sebagai Unity Friendly Outreach (UFO), secara harmoni dengan berbilang kaum. Menurut penasihat KeSUA, Puan Nor Hayati Aziz kursus ini amat memberi manfaat kepada KeSUA kerana ia dapat membina hubungan antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia dan mempromosi perpaduan dan keharmonian.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my