oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

Muallim, 13 September 2022 : Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan suatu ruang khas sudut bacaan di dua buah Klinik Kesihatan Tanjung Malim
dan Klinik Kesihatan Slim River, di sini.

Penyediaan ruang-ruang ini merupakan projek rintis khidmat sosial universiti bertujuan untuk memupuk budaya membaca kepada pengunjung terutamanya kepada para pesakit sedang menunggu giliran mahupun ahli keluarga yang menemani pesakit sewaktu menunggu giliran rawatan.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Muallim Dr V.C Anuratha Subramaniam, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan khidmat sosial daripada pusat pengajian terulung di daerah tersebut.

“Kami warga klinik sekitar Muallim amat teruja apabila menerima beraneka bahan bacaan yang terkini hiasan rekaletak dekorasi yang cantik sekaligus menarik minat membaca dari kalangan pengunjung,” jelasnya semasa majlis perasmian ruang bacaan Program Khidmat Kelestarian Komuniti di Klinik Kesihatan Slim River, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan PTB, seramai 10 orang staf daripada PTB membantu dalam penyediaan ruang bacaan di sekitar ruang legar klinik berhampiran tempat menunggu selama tiga hari.

“UPSI amat berbesar hati untuk menyerahkan sebanyak 5300 naskhah buku beraneka genre bernilai lebih RM4500 untuk disumbangkan kepada dua klinik kesihatan ini menerusi ihsan agensi seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Karangkraf , Serambi Ilmu Rakyat (Bank Rakyat) serta sumbangan orang awam selain perbelanjaan daripada UPSI sendiri,” jelasnya selepas majlis perasmian program.

Firdausiah (tiga dari kanan) bersama para petugas Klinik Kesihatan bersama para pegawai kesihatan daerah Tanjung Malim.

Menurutnya lagi, projek rintis ini bakal dikembangkan lagi dengan penyediaan di lebih banyak kawasan tumpuan dan premis-premis di sekitar daerah ini mengikut permintaan dan perancangan pada masa-masa akan datang.

Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam suatu kenyataan berkata UPSI akan terus memperkasa modal insan dengan mencari ruang untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat, sesuai dengan slogan universiti untuk masyarakat.

Turut hadir ketika majlis perasmian, Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr Ngaesah Hamed, Dr Siti Norhani binti Suhaimi, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tanjung Malim Dr Shahnul Kamal Sidek, Timbalan Ketua Pustakawan, Wan Kartini Wan Sulaiman dan Penolong Pendaftar Kanan UCTC UPSI, Mohd Zaiham Izwan Zainudin.

Juga diterbitkan di: UtusanTV, Sinar Bestari, Kosmo!, Peraktastic

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)