oleh: Afifah Adriana Aznan

Pusat Transformasi Komunti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar 2020/2021 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Kembara Ilmu dan Inap Desa: Delegasi Anak Samurai pada 10 September 2022 di Kampung Pauh dan Kampung Padang, Behrang Stesen, Perak.

Program Kembara Ilmu dan Inap Desa: Delegasi Anak Samurai merupakan sebuah program peringkat antarabangsa yang dirancang hasil perbincangan dengan sebuah universiti di Jepun iaitu Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) yang berhasrat untuk hadir ke UPSI. Program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar Jepun tentang beberapa elemen baharu seperti budaya Islam dan masyarakat Melayu, adat resam, tatatertib, kepercayaan dan amalan harian kehidupan keluarga dan warga Malaysia serta Bahasa Melayu beserta keindahannya.

Para peserta Delegasi Anak Samurai bergambar kenangan di hadapan rumah inap desa di Kampung Pauh, Behrang Stesen.

Pelajar-pelajar dari Jepun akan tinggal bersama keluarga angkat bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya penduduk tempatan.

Pusat Transformasi Komunti Universiti (UCTC) tampil dan turun padang melalui Program Ziarah Kasih UPSI Prihatin di bawah program induk Delegasi Anak Samurai dengan menghulurkan bantuan sumbangan barangan kering kepada 10 keluarga angkat kepada pelajar-pelajar Jepun yang terdiri daripada komuniti di Kampung Pauh dan Kampung Padang, Behrang Stesen.

Sumbangan itu disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Menurut, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, sumbangan ini adalah satu inisiatif dalam membantu meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan barangan dapur khususnya kepada mereka yang terdiri daripada kumpulan B40.

Azlan menyerahkan sumbangan kepada salah seorang peserta keluarga angkat di Behrang Stesen


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata usaha murni yang dilakukan ini adalah atas dasar keprihatinan warga universiti dalam membantu masyarakat. Selain itu, hal ini dapat meningkatkan semangat kekeluargaan UPSI dan selaras dengan amanat Naib Canselor dalam melahirkan mahasiswa-mahasiswi yang bangga dengan UPSI.


Pada masa yang sama, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, program yang dilakukan ini mampu meningkatkan nilai murni dan sahsiah dalam diri untuk memberi manfaat kepada orang lain melalui aktiviti tanggungjawab korporat dan menjadi modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)