oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Fisol Ahmad / Shahidah Abu Hassan

Kuala Lumpur – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini telah menganjurkan Seminar IPT ‘Institusi Pengajian Tinggi Berimpak Tinggi’ di ibu negara bagi memberi penekanan khusus pada penarafan antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi,  Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata penarafan  seperti QS World University Ranking boleh menjadi batu loncatan dalam membantu institusi tinggi mencapai aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12, khususnya yang berada di bawah bidang kuasa KPT.

“Kementerian mengakui terdapat pelbagai cara untuk mengukur kualiti dan impak IPT salah satunya adalah melalui penarafan, memberi penekanan khusus pada penarafan QS, yang merupakan salah satu pengiktirafan antarabangsa menilai populariti dan keberkesanan IPT di seluruh dunia,” jelasnya ketika Majlis Makan Malam High Learning Institutions (HLI) di Hotel Royal Chulan, Damansara, bersama 52 peserta terdiri daripada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor serta pengarah-pengarah Jabatan Strategik IPT awam dan swasta.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah sekali) bersama delegasi sekretariat QS World University Ranking

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk  Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT,  Prof. Datuk  Dr. Husaini Omar.

KPT menerusi kenyataan turut menyasarkan salah satu indeks prestasi utama mempunyai sekurang-kurangnya dua universiti tempatan dalam 100 kedudukan teratas QS World University Ranking (WUR) pada 2025.

Penarafan QS, yang merupakan salah satu pengiktirafan antarabangsa menilai populariti dan keberkesanan IPT di seluruh dunia – Noraini Ahmad

“Universiti Malaya misalnya telah disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dalam QS WUR 2023. Malah secara keseluruhan, 4 universiti tempatan telah tersenarai dalam 200 teratas dunia.

“Lebih membanggakan, buat julung kalinya, sebanyak 24 IPT Malaysia telah disenaraikan dalam ranking QS,

“Pencapaian sebegini membawa kita lebih hampir setanding dengan IPT lain yang bereputasi di negara maju,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Universiti Malaya berada di kedudukan 70 terbaik dunia, manakala Universiti Putra Malaysia di tempat 123, Universiti Kebangsaan Malaysia, 129, dan Universiti Sains Malaysia, 143 terbaik dunia untuk penarafan tahun 2023.

Seminar berlangsung seharian turut melibatkan sekretariat daripada pihak QS World University Ranking yang berpangkalan di London untuk menyampaikan sendiri pengisian bermanfaat kaedah penyelarasan tepat serta strategi melibatkan pengantarabangsaan pusat pengajian, pengukuran pencapaian, sasaran pembangunan kelestarian sosial sosial dan kerajaan (SDGS) dan pengemaskinian indikator terkini penarafan 2024.

  “Malaysia telah menjadi destinasi pengajian tinggi pilihan hasil pendidikan berkualiti yang disediakan, di samping kos pendidikan dan sara hidup yang berpatutan dengan peningkatan sebanyak 32% pada tahun 2021, berbanding ketika wabak melanda pada tahun 2020.

“Menerusi data, IPT telah menerima 131,000 pelajar antarabangsa, sekiranya kadar pengambilan meningkat dalam beberapa tahun akan datang, kementerian percaya dapat mencapai sasaran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025, sekaligus meningkatkan lagi kedudukan kita sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.” jelasnya lanjut.

Sementara itu, menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang turut hadir, sebagai salah sebuah universiti awam UPSI akan terus menyahut saranan KPT untuk memperkasa penarafan QS menerusi agenda kolaborasi antarabangsa universiti terkemuka dalam bidang pendidikan.

“Buat julung-julung kalinya, UPSI telah diiktiraf QS University World Ranking sebagai kedudukan 801-1000 terbaik dunia pada tahun 2022 dan optimis dengan mengukuhkan penarafan yang lebih tinggi hingga kedudukan 500 terbaik dunia,” jelasnya.

Artikel turut disiarkan di: Suara Merdeka

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)