oleh: Afifah Adriana Aznan Pusat Transformasi Komunti Universiti (UCTC)
ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lima buah kenderaan berupa kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk program kesukarelawan ResQ Team UPSI. Pertambahan jentera ini adalah atas usaha barisan pengurusan tertinggi UPSI, Bahagian Pengangkutan dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI bagi kelangsungan misi dan kesiagaan ResQ Team menjalankan tugas-tugas kesukarelawanan.
Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata usaha murni ini dapat membantu mengurangkan kekangan yang dihadapi oleh ResQ Team khususnya dari aspek mobiliti dalam melaksanakan misi bantuan mangsa yang ditimpa bencana.
Majlis penyerahan kunci aset kenderaan baharu itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff bertempat di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Dengan adanya lonjakan ini, ianya dapat menyuntik sukarelawan ResQ Team UPSI lebih efektif dalam menjalankan misi-misi menyelamat dan pasca banjir.
Selain daripada aset kenderaan, ResQ Team UPSI juga mempunyai aset dan kelengkapan ResQ seperti 9 unit Water Jet, 2 unit Water Pump, 8 unit tong air, 6 unit Wheel Barrow, 1 unit Water Tank 500 Gallon, Generator Comboss, Air Compressor dan pelbagai peralatan pembersihan sebagai kesiapsiagaan bagi misi-misi akan datang.
Naib Canselor dalam ucapan berkata perolehan aset jentera ini menambahkan kekuatan aset sedia ada sekaligus bagi memperkasa keupayaan dan mempertingkatkan keberkesanan pengoperasian ResQ Team UPSI jika berlaku bencana. Beliau juga berkata usaha ini adalah signifikan dengan usaha universiti untuk mempersiap-siagaan ResQ Team UPSI dalam membantu mangsa bencana dan terus menjamin kesejahteraan masyarakat yang ditimpa bencana.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, perolehan aset kenderaan ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa ResQ Team UPSI dan beliau berharap ResQ Team UPSI terus bersemangat dan tidak berasa penat atau lelah dalam melaksanakan misi bantuan demi keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat yang ditimpa bencana.
Turut diterbitkan di: Harian Metro