oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Fisol Ahmad

Muallim – Seramai 774 pelumba menyertai kejohanan basikal, UPSI 100 Years Century Ride yang berlangsung di daerah ini hari ini. 

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff,  perlumbaan yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan salah satu acara yang ditunggu-tunggu kalangan peminat sukan popular tersebut di daerah yang terkenal dengan laluan indah melalui Banjaran Titiwangsa.

Perlumbaan yang bermula dari Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Proton City menelusuri Jalan Kuala Lumpur – Ipoh hingga Jalan Kuala Slim – Gunung Besout kemudian menembusi Jalan Sungkai Lama hingga ke susur Jalan Slim Lama, Behrang Ulu dan menuju garisan penamat di Proton City, Tanjong Malim.

“Daerah Muallim merupakan kawasan yang tidak asing kepada peminat sukan basikal kerana selain mempunyai trek laluan yang mesra pengguna, daerah ini mempunyai latar pemandangan indah gunung-ganang yang mendamaikan,

“Malah, acara perlumbaan 100 kilometer ini merupakan acara sukan kemuncak sambutan 100 tahun UPSI yang akan diraikan tanggal 29 November, beberapa hari saja lagi,” jelasnya sejurus acara pelepasan para pelumba di Arena UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr Norkhalid Salimin UPSI, selain pelumba-pelumba tempatan, kejohanan perlumbaan basikal ini turut mendapat penyertaan daripada pelumba-pelumba negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina serta pelumba-pelumba antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun dan Korea Selatan.

“Penganjuran kejohanan UPSI 100 Years Century Ride ini berlangsung dengan jaya, turut mendapat sokongan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) bukan saja mampu merapatkan hubungan komuniti dengan universiti, malah secara tidak langsung dapat mempromosi pelancongan daerah Muallim dengan lebih rancak ke peringkat antarabangsa,” jelasnya yang hadir semasa majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. 

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki diungguli Muhammad Arif Aiman Mustaffa dengan catatan masa 2 jam 35 minit manakala Terbuka Wanita diungguli Noraliza Omar dengan catatan masa 2 jam 40 minit. 

Bagi kategori acara Elit Lelaki pula dimenangi oleh Kee Zhe Yie dengan catatan masa 2 jam 35 minit dan kategori Lelaki Masters (umur 35 hingga 45 tahun) dimenangi Mohd Faizal Amir dengan catatan masa 2 jam 35 minit dan acara Lelaki Senior Masters (umur 45 hingga 75 tahun).

Acara perlumbaan basikal tersebut turut menyaksikan jaguh pasukan Awi Awey Hardware dari Terengganu, Mohamad Izzat Hilmi Abd Halil, muncul sebagai Raja Bukit dengan catatan 3 minit 58 dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 beserta hadiah iringan. 

Selain Raja Bukit, acara kategori Terbuka Institut Pengajian Tinggi (IPT) turut mendapat tumpuan dengan kemenangan diraih Mohamad Afi Danial Ramli mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berdasarkan catatan masa 2 jam 39 minit.

Turut hadir, Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Datuk Dr. Safry Kamal Ahmad menyampaikan hadiah berupa wang tunai bernilai RM800 kepada pemenang utama kepada semua kategori manakala tempat kedua wang tunai RM600, tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing RM400, RM300 dan RM200 serta hadiah iringan berupa pakaian dan aksesori basikal tajaan Aerobasikal Enterprise serta Ratio Dynamic Resources. 

Safry Kamal turut menyampaikan hadiah cabutan berupa dua buah basikal dan aksesori basikal bernilai lebih RM7000 tajaan ASK Bike Shop kepada peserta bertuah.

Turut diterbitkan di: Kosmo!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)