oleh: Ahmad Syahmi Mohamad Nuri
foto: Muhammad Hasif Firdaus Othman
TANJUNG MALIM – Kelab E-Sport Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah menganjurkan kejohanan liga sukan elektronik Mobile Legends Bang Bang (MLBB) sempena Pesta Konvokesyen (PESKON) UPSI kali ke-24 yang berlangsung pada 5 dan 6 Disember di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim berkata, penganjuran kejohanan liga sukan elektronik MLBB UPSI mampu meningkatkan perkembangan sukan yang semakin popular di kalangan warga belia dengan mencungkil bakat-bakat baru di institusi pendidikan tinggi.
“Program seperti ini juga seharusnya mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak demi menjayakan usaha menaikkan persepsi terhadap E-Sports sekaligus melahirkan lebih ramai atlet peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika majlis perasmian penutup kejohanan tersebut pada 6 Disember.
Liga MLBB yang masuk siri kedua tersebut telah disertai 32 buah pasukan tempatan melibatkan penyertaan daripada pasukan mahasiswa UPSI, universiti-universiti awam serta orang ramai dan menyaksikan pertandingan akhir empat pasukan mara ke peringkat akhir merebut hadiah wang tunai berjumlah RM40 ribu ringgit tajaan Persatuan Sukan elektronik Negeri Perak.
Pasukan Riq Fam Esport dari Selangor yang diasaskan oleh pencipta video permainan berpengaruh, Muhammad Haikal bin Yatim (Sultan Riq) menjadi Johan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta medal.
Tempat kedua dan ketiga diungguli oleh Team Turu dan Team Belasahan, kedua-duanya dari Perak dan masing-masing berjaya meraih wang tunai berjumlah RM750 dan RM450 beserta medal.
Manakala tempat keempat telah jatuh kepada pasukan Todak Apprentice Perak dibawah kendalian Todak Gaming membawa pulang wang tunai RM300.
Sementara itu turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata penganjuran kejohanan MLBB sekaligus melahirkan generasi mahasiswa baru yang lebih kreatif memanfaatkan peluang melibatkan diri dalam teknologi yang semakin pesat pada era semasa.
“Esports bukan sahaja sukan rekreasi tapi ianya juga mampu menjana pendapatan lumayan bagi pemain profesional. Dalam penganjuran sukan esports, secara tidak langsung ia turut mengajar sikap toleransi di antara satu sama lain dan menghargai setiap perbezaan yang ada di sekeliling kita,” jelasnya dalam kenyataan.
Kejohanan liga MLBB turut menampilkan dua personaliti pengulas sukan elektronik popular dalam dunia E-Sport profesional, iaitu Mohammad Noorhafidzan (Karakuri) dan Putra Ammar Qayyim (Mars) serta penampilan pempengaruh Fiera Fendi sebagai pengacara.