oleh: Afifah Adriana Aznan (UCTC UPSI)

KELANTAN 22 DISEMBER 2022 – Cakna terhadap situasi bencana banjir yang semakin buruk serta jumlah mangsa kian meningkat, ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalankan misi ke pantai timur bagi menyelamat mangsa banjir di sekitar dua buah daerah Pasir Puteh dan Pasir Mas negeri ini.

Genap setahun selepas menabur bakti dalam bencana yang berlaku di Shah Alam pada Disember 2021 yang lalu, ResQ Team UPSI yang diketuai oleh Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Koordinator ResQ Team UPSI bersama 11 orang sukarelawan tampil bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk membantu menyelamat mangsa-mangsa banjir di sini pula.

Menurut Dr. Omar Firdaus, amaran awal Monsun Timur Laut di timur Semenanjung meliputi Kelantan dan Terengganu, pantai timur Sabah dan pantai barat Sarawak menjadikan ResQ Team sentiasa siap siaga dalam membantu mangsa yang ditimpa bencana.

Dengan tenaga dan kemahiran dari pakar-pakar dalam bidang menyelamat, ResQ Team bersama aset 1 unit dinghi dan 1 unit raft berjaya membantu menyelamat tiga buah keluarga di Kg. Topeng dan Taman Sri Mas.

Selain misi menyelamat, ResQ Team juga menyumbang beberapa kotak yang berisi pakaian preloved sumbangan orang ramai dari Unit Kaunseling UPSI dan memberikan bantuan makanan kepada mangsa yang terkandas dan terputus bekalan makanan bermula dari gelombang pertama iaitu pada 19 Disember 2022 yang lalu.

Turut serta dalam misi ini beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Amal, MyFundAction dan Raja Shamri Foundation bagi membantu memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa yang ditimpa bencana dititikberatkan.

Dalam pada itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff turut menghargai dan berterima kasih atas khidmat bakti dan komitmen semua sukarelawan yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi berkhidmat kepada masyarakat di saat bencana berlaku.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, beliau berharap inisiatif yang dilakukan oleh sukarelawan ResQ Team UPSI ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa di samping meningkatkan nilai murni dan semangat kesukarelawanan di kalangan pelajar dan warga universiti.

turut diterbitkan di: Suara Merdeka, Harian Metro, Buletin TV3, Kosmo!, Sinar Bestari

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my