Oleh : Mohd Fahmi Mohd Yunus (Pusat Kebudayaan)
Tanjong Malim, Perak – 14 Disember lalu berlangsungnya program Borak Buku dan Majlis Pelancaran “Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam” di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) .
Program anjuran UPSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) dimulakan dengan Borak Buku iaitu slot berdurasi sejam.
Slot tersebut menampilkan tiga panel pembicara yang menceritakan kisah berkenaan buku tersebut iaitu Timbalan Dekan (Akademik Dan Antarabangsa) FSKIK, Ts. Dr. Ahmad Nizam Othman; pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Ariff Mohamad; dan Pensyarah FSKIK, Dr. Suraya Md Nasir.
Siri buku tersebut juga merupakan hasil tulisan Pengarah Pusat Kebudayaan iaitu Dr. Norzuraina Mohd Nor atau dikenali dengan nama pena beliau Ayudez Zuraina dan Encik Lee Hoi Yeh.
Hasil tulisan mereka direalisasikan dengan hasil karya tujuh illustrator muda iaitu Muhammad Daniel Arif Abdullah, Amira Athirah Amri, Monica Vun Yi Jing, Nur Rabbiyatul Fatihah Azahari. Kamaliza, Khairul Azizi dan Nur Khairunniza Herlizam.
Menurut Ayudez Zuraina, Siri Cinta Alam diterbitkan dengan harapan agar ia dapat memupuk kesedaran dan rasa cintakan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak.
Isi kandungan siri tersebut turut menekankan tentang kepentingan menjaga dan memulihara alam
sekitar.
Siri Fantasi pula menceritakan tentang karakter kanak-kanak yang berimaginasi dalam kerjaya impian mereka.
Turut memeriahkan majlis perasmian tersebut adalah Man Kayan,aktivis seni muzik rakyat dan seni budaya rakyat Pahang dengan seleksi lagu-lagu hasil tulisan beliau.
Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan DBP.
Dalam ucapan majlis tersebut beliau menyatakan pada masa kiri penerbitan buku secara digital memainkan peranan penting dalam konteks pendidikan kanak- kanak kerana ia lebih bersifat interaktif, seiring dengan aliran medium pembelajaran terkini.
Ujar beliau lagi, DBP mengalu-alukan kerjasama dengan penerbit swasta atau university kerana kini DBP dalam usaha meningkatkan dua versi penghasilan buku iaitu secara bercetak dan digital.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pihak DBP akan mengangkat penulis sebagai rakan niaga agar penerbitan tersebut sampai kepada golongan sasarannya.
Beliau juga mempelawa para tetamu yang hadir untuk sama-sama berkarya kerana buku terbitan dapat memberikan kepuasan kepada penulis dan dapat memberikan manfaat kepada para pembaca.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dr. Mazuki Mohd Yasim, Pengerusi Majlis Pengarah Pusat Tanggungjawab JHEPA dan Encik Armin Azhari Saleh, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP.
Program berakhir sekitar jam 11.30 pagi usai persembahan penutup oleh Man Kayan dan sesi bergambar bersama para tetamu jemputan dan 338 penonton yang hadir.