Oleh: Nurzaimah Asalal dan Nor Kalsum Mohd Isa

Jerteh, Terengganu – Team Kesukarelawanan Fakulti Sains Kemanusiaan atau dikenali sebagai V-FSK4U telah menjalankan satu misi pasca banjir ke Pantai Timur pada 31 Disember 2022 yang lalu. Pantai Timur merupakan kawasan yang sering dilanda banjir dan sememangnya memerlukan sukarelawan untuk mengurangkan bebanan penduduk dalam proses pembersihan. Bagi tujuan itu, dengan kerjasama Majlis Belia Terengganu dan University College Bestari (UCB), Setiu, Terengganu telah memberi ruang kepada sukarelawan V-FSK4U melaksanakan tanggungjawab dalam membantu mangsa-mangsa banjir dalam proses pembersihan.

Seramai 32 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar diiringi empat orang pensyarah menjadi kekuatan pasukan dalam melaksanakan pembersihan. Pada 31 Disember 2022, sesi pembersihan telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan bersama pelajar UCB ke Sekolah Pusat Jerteh. Manakala kumpulan kedua melakukan pembersihan di SM (A) Ittifakiah bersama sukarelawan dari UPNM. Kerjasama yang padu antara universiti-universiti ini telah meringankan bebanan sukarelawan untuk melakukan pembersihan lebih cepat. Kerjasama ini juga dapat mewujudkan rangkaian yang baik antara UPSI dengan dengan Universiti lain seterusnya dengan pihak Majlis Belia Terengganu sendiri.

Misi pasca banjir ini membawa amanah daripada WEZAS UPSI yang telah menyumbangkan sebanyak RM3000.00 untuk tujuan sumbangan makanan kering, pampers dan hygien kit yang diberikan kepada penduduk-penduduk Jerteh yang berdekatan dengan kedua-dua buah sekolah.  Manakala sumbangan pakaian telah diberikan oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan. Alhamdulillah, semasa sesi pengagihan, ramai penduduk yang mengambil pakaian-pakaian yang telah disusun rapi oleh ahli pasukan V-FSK4U, kata Dr. Nurzaimah Asalal, penyelaras pasukan.

Dalam pada itu, dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, Prof. Madya Ts Dr. Nor Kalsum Mohd Isa menzahirkan rasa terima kasih atas keperihatinan banyak pihak termasuk, WEZAS UPSI,  Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan pensyarah-pensyarah FSK yang turut membantu memberi sumbangan yang amat bermakna kepada mangsa-mangsa banjir. “Misi ini juga tidak dapat terlaksana tanpa adanya sokongan dari pihak pengurusan tertinggi UPSI dari segi pengangkutan dan penyediaan peralatan pembersihan”, katanya.

Kerjasama yang padu ini menjadi kekuatan kepada team V-FSK4U untuk terus menyumbang dan memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan. Team V-FSK4U, bukan sahaja memfokuskan kepada membantu mangsa banjir, sebaliknya turut melibatkan kumpulan-kumpulan sasar lain yang memerlukan sukarelawan. Semoga sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar UPSI tetap bersemangat dan menyokong tiap-tiap misi kesukarelawanan V-FSK4U.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)