oleh: Nur Syafiqah Abd Rahim (ISMP Pendidikan Islam, FSK)
Bahagia itu ditakrifkan dengan pandangan yang berbeza bagi setiap jiwa manusia. Ada yang menyangka bahawa bahagia itu bilamana dia memperoleh kejayaan dalam peperiksaan. Ada juga yang menyangka bahawa bahagia itu andai dia mempunyai wang yang banyak, rumah yang mewah serta pangkat tinggi. Namun, sejauh manakah kefahaman manusia tentang erti bahagia yang sebenar?
Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, bahagia bermaksud suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din, beliau mentakrifkan bahagia itu adalah ketika mana manusia berada dalam satu puncak ketakwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah SWT.
Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga ada menyebut dalam kitabnya iaitu Haqiqat al-Sa‘adah wa Ma‘naha fi al-Islam, Al-sa‘ad pada manusia adalah kemuncak kebahagiaan terakhir iaitu dengan cara menyerahkan diri secara sukarela kepada Islam dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati segala perintah dan laranganNya. Kebahagiaan ini juga mempunyai pertalian dengan dua dimensi kewujuduan iaitu kewujudan di dunia (duniawiyah) dan di akhirat (ukhrawiyyah).
Berdasarkan takrifan di atas, dapat kita fahami bahawa erti bahagia yang sebenar bukanlah bersandar pada kebendaan semata-mata, tetapi bahagia itu sebenarnya terletak pada diri kita sendiri kerana hanya diri yang dapat menentukan hala tuju kehidupan sama ada untuk mengecapi kebahagiaan atau kemewahan.
Dalam konteks masa kini, kita dapat lihat bahawa ramai orang yang berharta dan hidup mewah, tetapi hakikatnya mereka itu tidak bahagia. Jiwa mereka terasa kosong. Walaupun hidup dalam keluarga yang serba serbi cukup, namun masih terasa hidup yang sepi seakan ada sesuatu yang perlu diisi.
Telah tercatat dalam sejarah tentang seorang wanita iaitu Jarwal bin Aus bin Malik al-‘Absi Abu Mulaikah, penyair Mukhadram yang hidup pada zaman Jahiliyyah dan Islam yang mempunyai pelbagai kelebihan tetapi akhirnya merasakan bahawa takwa dan mengabdikan kepada Allah adalah puncak kebahagiaan. Di dalam syairnya, beliau berkata,
“Dan aku tidak melihat kebahagiaan hakiki dengan himpunan harta, Tetapi orang yang bertakwa
itulah sebenarnya orang bahagia”
Dari sini, kita dapat lihat bahawa hakikat kebahagiaan itu bukanlah terhadap dunia dan seisinya, tetapi rasa senang dan tenang dalam diri apabila kita meletakkan kepentingan akhirat yang utama, dengan rasa cinta dan takwa yang tinggi terhadap Pencipta.
Menurut Saidina Ali R.A, erti takwa itu adalah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan. Jadi, untuk mencapai takwa itu, kita perlulah tahu akan tujuan hidup kita sebagai manusia yang diciptakan iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT. Apabila kita tahu mengapa kita berada di sini, maka kita akan berusaha untuk hidup dengan berlandaskan syariat yang betul agar kita mendapat kebahagiaan yang didambakan.
Di dalam surah Az-Zukhruf ayat 35, Allah SWT telah berfirman,
“Dan (Kami buatkan pula) perhiasan-perhiasan dari emas. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat di sisi Tuhanmu disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Kesemua kesenangan dan kemewahan ini sememangnya disajikan untuk manusia menikmatinya ketika di dunia, namun ianya pasti tidak akan kekal lama kerana dunia ini hanya sementara, dan akhirat itu kekal selamanya. Kerana itu Allah SWT berfirman bahawa orang-orang yang bertakwa ini akan disediakan kesenangan yang jauh lebih baik berbanding di dunia. Allah SWT juga berjanji bahawa sesiapa yang menginginkan kesenangan dunia, maka dia hanya akan mendapatkan kesenangan dunia sahaja, tetapi jika dia menginginkan akhirat, maka dia akan memperoleh keduanya.
“Barangsiapa menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barangsiapa menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (As-Syuara ayat 20)
Namun, kebahagiaan yang kita rasakan saat ini tidak akan kekal lama. Pasti ia akan diselangi dengan ujian dan rintangan. Ibarat ombak yang sering menghempas pantai, begitulah juga hidup kita.
Di dalam surah al-Ankabut ayat 64, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui”.
Hakikat dunia ini penuh dengan tipu daya yang indah dan mengasyikkan, sehingga kita seringkali lalai dan lemas dalam lautan kesenangan sedangkan kebahagiaan hakiki yang perlu kita kecapi bukanlah pada dunia, tetapi di akhirat sana.
Menurut Ibn Tufail di dalam Dirasah al-Nafsiyyah ‘inda al-‘Ulama’ al-Muslimin oleh Dr. Muhammad ‘Uthman al-Najati, kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan di akhirat saat bertemu dengan Allah dan melihat wajah-Nya. Itulah salah satu nikmat terbesar untuk kita sebagai orang muslim, apabila kita dapat bertemu dengan Pencipta yang telah menciptakan kita, maka itulah kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Untuk mencapai ke tahap itu, kita perlulah meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah agar kita dapat memperoleh erti bahagia yang kita idamkan selama ini. – ePena