Oleh: Nurul Izzah Ilyani Mohd Ramli (Exco Media, Persatuan Psikologi UPSI)

KUALA LUMPUR – Dalam menaikkan semangat pejuang kanser kanak-kanak, Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif menganjurkan Program I’m A Fighter, I’m A Hero dengan kolaborasi pertubuhan badan bukan kerajaan Kumpulan Ibubapa Dan Sokongan Anak anak Kanser (KIDS) dan Council of Counselling Students International Islamic University Malaysia (CCSI IIUM) bertempat di Kuliyyah of Education, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

Program ini sangat signifikan memandangkan ramai murid yang luntur semangat untuk kembali ke sekolah secara fizikal setelah dua tahun mengikuti pelajaran secara maya disebabkan pandemik Covid-19. Lebih mencabar lagi bagi murid-murid pejuang kanser, kadang-kadang mereka ketinggalan pelajaran disebabkan banyak masa dihabiskan di hospital atau di atas katil pesakit.

Justeru itu, program seumpama ini disasarkan untuk meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan kejayaan dalam bidang akademik disamping meningkatkan kemahiran bersosial dan kemahiran berkomunikasi.

Menurut Penasihat Persatuan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin, program ini telah diiisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan interaktif yang dapat meningkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman kepada murid-murid. Dari raut wajah & respon lisan para peserta, jelas menunjukkan keseronokan mereka mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.

Lebih menarik, kanak-kanak seusia ini juga didedahkan dengan kemahiran mengurus emosi dan kesihatan mental, dan mereka dididik untuk bersyukur dengan nikmat hidup yang dikecapi selagi masih diberi nafas.

Program ini telah disertai oleh 21 orang kanak-kanak pejuang kanser yang sedang memasuki fasa ‘sedang pulih’. Mereka berusia sekitar 10 hingga 13 tahun dan datang dari pelbagai daerah dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut Puan Maizatul Karimah Junus, selaku Setiausaha KIDS, pihak KIDS sangat menghargai usaha mahasiswa-mahasiswa dari UPSI dan UIAM yang sudi memberikan suntikan semangat kepada kanak-kanak golongan ini. Lokasi program yang dijalankan di Kulliyyah Pendidikan UIAM juga telah membuka minda mereka untuk menyambung pengajian sehingga peringkat universiti. – ePena

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)