Oleh: FATHIN AN NUR NASHRAH ROHAIZAT (PKP UPSI)
Jabatan Komputeran, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Kejuruteraan Perisian UPSI (PKP) telah menganjurkan International Exhibition of Research, Idea & Innovation on Creativity and Human (ie-RIICH 2023), sebuah pertemuan industri dengan universiti, bengkel serta pameran projek tahun akhir, melibatkan pelajar-pelajar semester tujuh jabatan tersebut.
Menurut Pensyarah Penasihat Dr. Sumayyah Dzulkifly berkata matlamat utama program ini diadakan adalah bagi mewujudkan platform bagi pelajar Jabatan Komputeran mempersembahkan dan berkongsi ilmu berkenaan hasil penyelidikan masing-masing.
“Penganjuran ie-RIICH’23 merupakan sesi yang ketujuh (iaitu, The 7th ie-RIICH’23 ) melibatkan pameran sebanyak 50 projek daripada 268 projek yang telah dipilih dan disaring diperingkat awal oleh 108 juri yang merupakan pakar dalam bidang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mashitoh Hashim,”
“Apa yang menarik lagi, penganjuran program ini turut melibatkan seramai lebih 80 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelajar-pelajar PKP, yang diketuai oleh pelajar FSKIK semester 5, Nur Khairunhusna Mohd Ali yang turut diselia oleh Encik Ahmad Nurzid Rosli,” jelasnya.
“Menerusi penganjuran ini, pihak urusetia telah menyediakan hadiah kepada beberapa kategori seperti anugerah khas, anugerah poster terbaik, anugerah pembentangan terbaik dan lapan anugerah terbaik setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Augmented Reality/Virtual Reality, Courseware, Education, Artificial Intelligence, Mobile Application, Internet of Thing (IoT), System And Web Development dan Media Interactive,” jelasnya lagi.
Menurut Sumayyah lagi, program kali ini mendapat penglibatan rakan strategik yang lebih meluas, dimana lapan organisasi telah memberi sumbangan kepada anugerah-anugerah yang ditampilkan.
“Antara organisasi-organisasi yang menyumbang adalah Advanced Telecommunication Research Center (ATRC), Persatuan Inovasi dan Penyelidikan Global (GIRA), IEEE System, Man and Cybernetics Society Malaysia Chapter (IEEE SMC), Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), Malaysian Research and Innovation Society (MyRIS), Malaysia Young Scientist Organization (MySO), Centre of Women Advancement and Leadership (CWAL), UniKL and UniKL PmineRec,”
“Kesemua rakan strategik ini telah menyumbang sebanyak 15 buah hadiah yang merupakan anugerah khas yang kepada peserta yang terpilih keseluruha hasil projek yang dipamerkan.”
Pada majlis penutup pameran ini, seramai 23 orang juri dalam dan luar UPSI telah terlibat untuk memilih pemenang bagi anugerah kategori.
Selain menilai hasil penyelidikan, program 7th ie-RIICH’23 yang membuka tirai pada 9 Januari 2023 telah melaksanakan pelbagai ceramah dan bengkel untuk pelajar-pelajar FSKIK menimba ilmu dan pengalaman serta meningkatkan skil daripada pakar-pakar dalam bidang teknologi dan inovasi.
Antara program-program yang telah dilaksanakan adalah bengkel penulisan teknikal (Technical Writing: Strategize your Research Project Using Research Ideation Canvas 5.0), bengkel data analisis (Research Methodology & Data Analyses), bengkel kemahiran (Laravel Framework for Beginners & Ionic for Beginners).
Kemuncak pameran ini adalah majlis Majlis Penutup Pameran 7th ie-RIICH’23 yang dirasmikan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSKIK Prof. Madya Ts. Dr. Balamuralithara Balakrishna.,
Menariknya, pembangunan sistem penilaian projek, iaitu Evaxpert telah dibangunkan sendiri pelajar-pelajar Jabatan Komputeran dengan kolaborasi dari pihak industri, iaitu syarikat Gerak Unggul Teknologi Sdn Bhd (GUETECH SDN BHD).
Sistem penjurian ini dibangunkan bagi memastikan pelarasan markah pelajar dapat dibuat dengan lebih cekap dan sistematik. Pameran kali ini adalah acara kemuncak yang akan dijadikan penanda aras bagi program pameran kepada fakulti baru, Fakulti Komputer dan Meta Teknologi (FKMT).
Pameran seterusnya, iaitu The 8th ie-RIICH akan meneruskan legasi pameran ini di bawah pengurusan fakulti baru, FKMT, akan dianjurkan pada bulan Jun pada tahun ini. – ePena