oleh: Wahidanoor Wahid (Jabatan Bendahari)
UPSI telah berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM1,579,355 melalui Malam Kemuncak Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI (1922-2022) ini, iaitu Majlis Makan Malam “Seluhur Budi Sekalung Kasih” yang telah diadakan pada 29 November 2022.
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk berangkat ke seterusnya merasmikan majlis yang penuh gilang gemilang ini.
Sumbangan diterima daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, bank, individu, Fakulti dan lain-lain adalah bertujuan untuk mengisi Tabung Biasiswa Bitara UPSI iaitu inisiatif yang ditawarkan di bawah Tabung Dana Endowmen UPSI.
Tabung ini menyediakan dana yang berprestij bagi tujuan penawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang secara holistik bagi melanjutkan pengajian di semua peringkat pengajian dari kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa dalam tempoh jangka masa panjang.
Inisiatif ini digagaskan dengan hasrat untuk memperkasa pembangunan modal insan cemerlang yang akan memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada kecemerlangan UPSI dan negara secara amnya.
Bukan itu saja, sumbangan ini menawarkan pembiayaan dan sokongan kewangan kepada pelajar yang layak atau cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran bagi pelajar tempatan dan antarabangsa.
Sekaligus sumbangan yang diterima dapat mempromosi UPSI sebagai sebuah universiti yang menghargai setiap kecemerlangan dan sumbangan yang telah diberikan kepada negara, serta dapat menghargai sumbangan dan jasa para dermawan dengan menawarkan inisiatif yang bersesuaian sebagai promosi produk dan jenama yang berkaitan.
Menurut Naib Canselor UPSI, Tabung ini mewujudkan satu skim biasiswa yang berprestij untuk ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan memberikan sumbangan yang bermakna untuk negara melalui penajaan biasiswa meliputi yuran pengajian, yuran perkhidmatan, elaun Sara Hidup serta lain-lain yuran dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh pihak universiti termasuk perubatan, perpustakaan dan pengangkutan.