oleh: Firdausiah Ahamad (Perpustakaan Tuanku Bainun)

Batang Padang – 02 Februari 2023 : Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan menaiktaraf ruang pusat sumber Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin Tapah.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, usaha tersebut merupakan salah satu inisiatif program khidmat kelestarian komuniti jabatannya untuk para pelajar tahfiz mendapat akses bacaan yang lebih lengkap, selain mencipta ruang pembacaan yang lebih kondusif.

Selain dihias rapi, PTB UPSI turut mengadakan sesi pemindahan ilmu menerusi pelaksanaan bengkel pengurusan pusat sumber turut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, En. Mohd Razalli Termizi kepada 20 orang peserta terdiri daripada para tenaga pengajar 4 buah cawangan ADDIN sekitar daerah Batang Padang.

Md Amin dalam kenyataannya juga berkata PTB yang sudah mencapai seabad usianya itu mahu menjadi sebuah perpustakaan yang berprestij dalam bidang pendidikan selaras dengan globalisasi selain menyahut cabaran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberi keunggulan universiti kepada masyarakat.

“Sebagai institusi pendidikan tersohor tanahair, UPSI telah sejarahnya tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di negara yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan,”

“Berbekalkan azam untuk terus unggul meneraju pendidikan negara, usaha ini diharapkan dapat membantu pengurusan Maahad Tahfiz untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan pusat sumber dengan lebih baik demi melahirkan generasi yang celik ilmu baik dunia mahupun akhirat,” jelasnya lanjut.

UPSI telah menyerahkan baan bacaan terkini sebanyak 46 naskhah buku rujukan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan bidang Qiraat bernilai lebih RM1000.00.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Addin , Mohd Sabri Nordin
Para sukarelawan Perpustakaan Tuanku Bainun yang membantu naiktaraf pusat sumber Maahad Tahfiz

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Addin , Mohd Sabri Nordin merakamkan jutaan terima kasih atas khidmat sosial korporat yang dilaksanakan PTB UPSI.

“Para pelajar berasa amat teruja dengan bakti naiktaraf pusat sumber yang dilaksanakan oleh para sukarelawan PTB UPSI, sekaligus memberi mereka semangat untuk memupuk budaya membaca sebagai amalan seharian,” jelasnya. – ePena


By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)