oleh: Afifah Adriana Aznan

Tanjung Malim, 27 Januari 2023 – Mengambil kira kelebihan penggunaan mudball bagi perawatan air alternatif dengan lebih lestari, mahasiswa kursus Principles in Biology (SBB3033), Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak proaktif dalam penjagaan alam sekitar dengan menganjurkan program Service Learning Malaysia – University for Community (SULAM) “CSR Mudball: Let’s Clean Our Water” di Tasik Embayu Proton City.

Program ini melibatkan seramai 48 orang mahasiswa di bawah penyeliaan pensyarah Profesor. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong turut dirasmikan Penyelaras Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan – Biologi (AT11), Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad.

“Bebola lumpur atau lebih dikenali sebagai mudball adalah salah satu teknik perawatan air secara semula jadi dan tidak menggunakan sebarang bahan kimia berbahaya,”

“Mudball mengandungi mikroorganisma berfaedah yang mampu merawat pencemaran air kolam, tasik, sungai, longkang dan sebagainya,”

“Matlamat program ini bukan sahaja menstabilkan kealkalian (pH) air malah turut menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan menjaga alam sekitar,” jelasnya

Menurut Muhammad Aqil Aryan Wong lagi, program yang dijalankan ini merupakan salah satu program Corporate Social Responsibility (CSR) yang dirancang dalam aktiviti pelajar bagi berkongsi keberkesanan mengaplikasi teknik rawatan air menggunakan kaedah bioteknologi mikroorganisma berfaedah bagi menyelesaikan masalah pencemaran air.

“Mudball diolah untuk memudahkan kerja-kerja penyebaran mikroorganisma berfaedah dalam bertindak menguraikan segala bahan punca pencemaran di dalam air dengan lebih berkesan dan menjimatkan kos,”

“Campuran terdiri daripada mikroorganisma efektif (EM) sebagai kandungan utama yang akan mengurai bahan pencemar seperti minyak dan besi-besi berat.”

“Selain itu, ada campuran hampas padi sebagai pemberi nutrien kepada EM dan tanah liat dan tanah hitam sbg pemampat yg membentuk bentuk bulat pd mudball,” tambahnya lanjut.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata program yang digerakkan ini adalah salah satu alternatif yang memberangsangkan dalam menyelesaikan masalah pencemaran air di samping memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat dalam melestarikan alam sekitar. – ePena

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my