oleh: EDLYN ANGIE ANAK SILAMAT (PERSATUAN GEOGRAFI, UPSI)

7 Januari 2023 SEGARI – Baru-baru ini para sukarelawan Persatuan Geografi (PERGEO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung serta Jabatan Perikanan Negeri Perak menganjurkan program aktiviti khidmat masyarakat Pergeo Beach Clean-up and Recycle yang bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang di sini.

Turut hadir, ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib berkata program ini merupakan program pembuka tahun 2023 dan program penutup tahun 2022 bagi Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakuti Sains Kemanusiaan.

“Program yang diadakan ini bukan sahaja membantu pihak pengurusan pusat konservasi membersihkan kawasan malah para pelajar juga dapat menghayati kepentingan pemuliharaan penyu dalam ekosistem laut sekaligus dapat melakukan aktiviti riadah selepas program dijalankan. Diharapkan program sebegini akan terus dianjurkan pada masa-masa akan datang,” jelasnya

Menurutnya lagi, aktiviti ini harus sentiasa dijalankan di kawasan setempat khususnya bagi mengurangkan jumlah sampah di sekeliling kita tidak kira tua atau muda harus memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar untuk keberlangsungan sumber bagi generasi muda di masa hadapan.

Seramai 40 orang mahasiswa merupakan aktivis Persatuan Geografi berganding bahu mengerah tenaga membersihkan kawasan pantai dan mencuci kolam penyu di pusat konservasi penyu tersebut dan dibahagikan kepada dua buah kumpulan iaitu kumpulan Alpha dan kumpulan Bravo.

Kumpulan Alpha yang terdiri daripada 16 orang bertanggungjawab membersihkan kolam penyu manakala kumpulan Bravo yang terdiri daripada 24 orang bertanggungjawab membersihkan sampah sekitar pantai dan laluan masuk ke Pusat Konservasi Penyu yang turut diselia Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Negeri Perak membersihkan sepanjang kawasan pantai yang dipenuhi sampah kesan daripada air laut yang naik melanda kawasan pantai disebabkan hujan yang berlarutan beberapa hari sebelum program.

Sampah-sampah seperti botol plastik, lampin pakai buang bayi, plastik, bekas makanan dan botol kaca dijumpai dan dibuang mengikut kategori sampah sesuai dengan objektif program yang membentuk kecaknaan tentang kepentingan penjagaan kebersihan pantai dan amalan kitar semula dalam kalangan mahasiswa Persatuan Geografi (PERGEO).

Sementara itu, pihak pengurusan Pusat Konservasi Penyu turut menghargai dan berterima kasih atas semangat serta komitmen semua sukarelawan yang sanggup datang dari Tanjong Malim ke Lumut untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembersihan yang dijalankan pada hari tersebut. – ePena

Nota Pengarang: Teringat trip Malaysia Book of Record, Biggest Globe Structure UPSI 2022 bersama Pusat Alumni JHEPA di Pulau Redang. Indahnya kenangan berenang dengan penyu.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my