oleh: Nor Hayati Aziz (Pusat Ulul Albab)
Tanjong Malim – Sejajar dengan permintaan industri masa hadapan dalam menghasilkan graduan yang mempunyai ciri pembelajaran kendiri dan pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan jati diri serta kemahiran berkomunikasi dengan baik, Pusat Ulul Albab (PUA) mengambil inisiatif melaksanakan bengkel Pemerkasaan Keunggulan Pendidikan pada 3 hingga 5 Februari 2023.
Menurut Pemangku Pengarah PUA, Dr Sakinah Salleh, bengkel selama tiga hari ini disertai 31 jurulatih (Talent Pool) Ulul Albab dalam kalangan pensyarah dan pentadbir dari pelbagai latar belakang.
“Pada bengkel ini, Pusat Ulul Albab telah merencanakan aktiviti seperti mengemaskini dan menambahbaik modul-modul sedia ada serta merangka strategi bagi memastikan UPSI terus kekal relevan sebagai hab pendidikan pengajian tinggi di rantau ini,” jelasnya.
Menurut Sakinah lagi, bengkel ini menjadi medan perbincangan bagi pencambahan idea baru dalam merangka program-program berimpak yang dapat memberi ruang dan peluang kepada para pelajar supaya lebih berketrampilan dalam kepimpinan, berkemahiran tinggi, bijak mengurus emosi, berfikiran matang, menguasai pelbagai bahasa, berdikari, berfikiran lebih kritis.
“PUA juga merancang untuk menganjurkan Pertandingan Ikon KPT bagi melahirkan personaliti pelajar yang boleh menjadi tauladan kepada modal insan yang cemerlang setiap aspek meliputi akademik, kokurikulum dan insaniah.”
“Menerusi bengkel ini, PUA telah berjaya menerbitkan beberapa modul seperti Modul Pensijilan Asas, Pertengahan, Lanjutan , buku Akademik dan Akhlak dan serta modul Smart Learning untuk para pelajar UPSI sebagai bertujuan melahirkan generasi yang seimbang dengan konsep 3A iaitu Akademik, Adab dan Akhlak,” jelasnya lagi.
Sejajar perubahan teknologi dalam menghasilkan graduan kalis masa hadapan berteraskan kasih sayang, keseronokan, kesegeraan dan saling hormat-menghormati, jelas Sakinah lagi, bengkel ini diharapkan dapat memperkasakan keunggulan pendidikan kepada para mahasiswa universiti tersebut. – ePena