oleh: Muhammad Safwan Ismail (Pusat Islam UPSI)
Proton City, 16 Feb 2022 – Kursus Intensif Tajwid bersiri anjuran Pusat Islam (Universiti Pendidikan Sultan Idris) UPSI telah dianjurkan secara bersiri bermula hari ini di Bilik Seminar Pusat Islam UPSI bagi memberi pendedahan secara khusus berkaitan kaedah bacaan Al-Quran merangkumi makhraj, sebutan dan sifat huruf kepada seluruh warga UPSI terdiri daripada kakitangan dan pelajar.
Menurut tenaga pengajar Kursus Intensif Tajwid, Ustaz Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan, kaedah pembelajaran perlu diterapkan secara konsisten dan istiqamah bagi membantu pemantapan ilmu tajwid secara menyeluruh.
Kursus yang akan berlangsung pada siri berikutnya iaitu pada 13 April, 18 Mei dan 13 Julai. Seramai 60 peserta yang terdiri daripada warga UPSI dan juga penyertaan masjid sekitar daerah Muallim.
Bukan itu sahaja, Kursus Intensif Tajwid ini juga bertujuan memberi motivasi sebagai persediaan awal para jemaah untuk menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba pada tahun ini. Program dijangka berakhir pada 13 Julai 2023 dan sebagai penghargaan kepada peserta yang mengikut setiap siri, akan menerima sijil penyertaan.
Pusat Islam mengharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warga UPSI dalam mempertingkatkan kualiti bacaan seperti yang diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta dapat dikongsikan sebagai pendidikan asas Al-Quran dalam keluarga dan seluruh masyarakat agar kita menjadi umat Nabi yang mendapat syafaat pada hari akhirat kelak. – ePena