oleh: Nurul Azira Mohd Zulkifli

Sebut sahaja kek cawan, tentu ramai yang mengenali pencuci mulut yang sentiasa tampil dengan warna dan bentuk yang mudah menarik perhatian ramai, khususnya mereka yang cintakan manisan.

Program CNY : Baking’s World yang bertemakan kek cawan diadakan buat julung kalinya oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersempena Tahun Baru Cina yang baru sahaja disambut oleh rakyat Malaysia.

Cikgu Hasnita (kiri sekali) bersama Puan Zuhra dan Puan Zida semasa mengajar membuat kek cawan

Program yang disertai oleh 20 orang mahasiswa UPSI ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pencinta kulinari dan pastri daripada utara, Puan Hasnita Daud atau lebih mesra dipanggil Cikgu Hasnita bersama dua rakannya, Puan Norazida Pozi dan Puan Fatma Zuhra Abdul Rahim yang tampil sebagai panel program.

Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang mempelajari teori penghasilan kek cawan serta cara-cara menghasilkan kek bermula daripada adunan, membakar seterusnya menghias kek. Bukan itu sahaja, Cikgu Hasnita banyak menyelitkan tips-tips berguna kepada para peserta menghasilkan kek cawan yang gebu, rasa sedap serta tidak muak sesuai dengan selera kita.

Sesi praktikal merupakan sesi yang ditunggu-tunggu apabila peserta bukan sahaja dapat menunjukkan bakat dan kreativiti dalam menghias kek cawan, tetapi juga berpeluang menyertai pertandingan menghias kek dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah yang menarik.

Lebih menariknya lagi, peserta tidak pulang dengan tangan kosong sahaja tetapi membawa pulang kek yang dibakar, cenderamata seperti cawan mug, sijil penyertaan serta hamper.

Menurut Pengarah Program, Nur Farhah Afifah Mayuni yang juga merupakan seorang penggemar manisan mengambil peluang berkolaborasi dengan Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS) bagi memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa dan orang awam dalam mendalami ilmu kulinari dan pastri. Selain dapat mencungkil bakat, peserta juga dapat menerokai kreativiti yang ada dalam diri masing-masing melalui aktiviti membuat dan menghias kek cawan.

Pengarah Program, Nur Farhah Afifah Mayuni

Menurut Ketua Felo Kolej Ungku Omar, UPSI, Encik Muhd Alamin Ismail semasa Majlis Penutupan CNY: Baking’s World ini, beliau memuji kesungguhan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2022/2023 yang begitu bersemangat dalam menjalankan program yang membawa manfaat yang besar kepada mahasiswa.

“Saya amat berharap agar program sebegini dapat dijalankan dengan lebih kerap untuk keseronokan mahasiswa kolej di samping memberikan mereka satu ilmu baharu yang mampu menjadikan mereka individu yang berkebolehan pada masa hadapan ” katanya. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)