oleh: Nur Syahmi Nazirah Muhamad Nizam
“Aduh tertekannya.. peperiksaan semester dah semakin hampir!” begitulah keluh-kesah sebahagian mahasiswa yang masih berjuang dengan tugasan dan persiapan sebelum menjalani peperiksaan akhir semester.
Jadual yang padat, lambakan tugasan yang diberikan pensyarah serta pelbagai program melibatkan aktiviti pelajar membuatkan sebahagian mahasiswa mengabaikan gaya hidup sihat dengan bersenam.
Ketika menghadapi saat-saat genting pembelajaran minggu ke empat belas, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar mengambil peluang menganjurkan program Run For Your Life, sebuah program larian santai bertemakan fun run sejauh 5 kilometer di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Menurut Pegawai Kolej, Alamin Ismail, program larian ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan antara mahasiswa, malahan melahirkan pelajar yang produktif.
“Dengan adanya program seperti ini mahasiswa dapat terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan demi menjaga kesihatan diri, kecergasan tubuh badan dan memupuk gaya hidup sihat,” jelasnya lagi
Menurut Exco Sukan dan Rekreasi Saudari Deborah Anak Brundang program larian itu melibatkan 100 orang peserta yang terdiri daripada penghuni kolej dan orang awam itu perlu melalui sebanyak tiga checkpoint yang dilengkapi dengan pelbagai aktiviti menarik yang perlu diselesaikan oleh semua peserta.