foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid
Tanjong Malim – Berhasrat menyuburkan semangat berpersatuan kalangan mahasiswa, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Negeri Johor menganjurkan Minggu Siswa Johor pada 3 Mac lalu hingga 7 Mac 2023 dan menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tuan rumah untuk edisi kelima pada tahun ini.
Menurut Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Zulkifly Mohd Tahir, Persatuan adalah landasan terbaik untuk melahirkan pemimpin muda dalam kalangan mahasiswa yang berminda kelas pertama dan mampu menyumbangkan khidmat bakti kepada agama, bangsa, negeri dan negara.
“Pemimpin akan datang dan pergi, tetapi apa yang penting adalah legasi kepimpinan itu sendiri kerana di Kerajaan Negeri Johor sendiri melihat belia pada hari ini merupakan pemimpin pada masa akan datang,”
“Justeru menerusi penglibatan persatuan anak johor atau Majlis Anak Johor yang ditubuhkan di lebih 20 persatuan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada hari ini, Kerajaan Negeri Johor terlibat menyokong aspirasi untuk membantu persatuan-persatuan seterusnya mencungkil bakat-bakat mahasiswa yang akan mentadbir dan memimpin masyarakat Negeri Johor kelak,” jelasnya ketika ucapan aluan perasmian Minggu Siswa Johor di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program berbentuk karnival itu menghimpunkan lebih seribu mahasiswa dari 20 buah IPT yang dikendalikan oleh persatuan Mahasiswa Anak Johor (MAJOR) daripada lapan buah IPT mengangkat tema kesenian Islam menerusi program Malam Cinta Rasul, Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Berkumpulan.
Selain itu empat lagi program yang turut menjadi pengisian Minggu Siswa Johor ialah karnival sukan yang menyaksikan pertandingan perlawanan bola jaring dan futsal dilangsungkan oleh 16 buah kumpulan, festival kebudayaan yang menampilkan pertandingan peragaan pakaian warisan negeri Darul Takzim, pertandingan debat dan program memperkasa keusahawanan menerusi Pertandingan Young Entreprenuer Siswa serta forum keusahawanan ‘Usahawan Muda’. – ePena