Oleh: Qatrun Nada Ahmad Hilmy
31 Mac 2023, Kuala Lumpur – Sudah menjadi kebiasaan masyarakat di Malaysia setiap kali Ramadan pasti ramai yang berlumba-lumba merebut peluang untuk membuat kebajikan.
Baru-baru ini, para mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) Universit Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Filantropi Fakir Food For Gelandangan, sebuah NGO/ Badan Kebajikan yang bertapak di Kuala Lumpur sejak 2013 yang mengambil inisiatif sosial menyantuni golongan gelandangan dan miskin bandar tidak melepaskan peluang menyantuni golongan yang tidak bernasib baik tersebut menerusi penganjuran program Kuovengers 2.0: The Soul of Ramadan.
Program sukarelawan tersebut dilaksanakan bertujuan membantu golongan sasar tersebut dengan mengagihkan keperluan harian kepada mereka seperti barangan keperluan mandian, pakaian lelaki, pakaian wanita dan kanak-kanak serta set keperluan wanita selain makanan kering seperti biskut.
Sebanyak 200 set barangan keperluan harian yang telah diedarkan melibatkan 40 ornag mahasiswa KUO UPSI dan 10 sukarelawan daripada Filantropi Fakit Food For Gelandangan.
Serahan barangan keperluan tersebut telah dijalankan di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Pusat Kegiatan Gelandangan, Kuala Lumpur.
Menurut Pengetua KUO UPSI, Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, program Kuovengers 2.0: The Soul of Ramadan yang dilaksanakan ini memberi peluang bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada para mahasiswa terhadap aktiviti kesukarelawanan, malah dapat menyelami sendiri perasaan golongan ini seterusnya menjadi teladan kepada para mahasiswa yang bakal menjadi pendidik di kalangan masyarakat kelak.
Menurut Pengarah Program Kuovengers 2.0: The Soul of Ramadan, Muhammad Hazim Haziq Mohd Rizal turut meluahkan perasaan gembira kerana program ini berhasil seperti yang dirancang menepati rasional dan objektif program.
“Selain mengagihkan makanan dan barangan keperluan harian, mahasiswa yang turut serta dalam program ini diberikan tugas khusus dalam menyantuni gelandangan dan kanak-kanak dengan agihan beberapa kumpulan antaranya menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma, aktiviti mewarna serta bermain dam ular gergasi bersama kanak-kanak,” jelasnya.
Turut hadir, Pengasas Filantropi Fakir Food For Gelandangan, Mohd Azizan Zainal gembira terharu terhadap penglibatan para mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) yang sudi bergandingan dengan pertubuhan sosial .
Tambahan beliau lagi, aktiviti kemasyarakatan ini wajar dilaksanakan dengan lebih kerap lebih-lebih para golongan belia yang terdiri daripada mahasiswa kerana dapat mengurangkan bebanan dan tekanan yang dihadapi oleh golongan rentan.
Selain UPSI, program Kuovengers ini turut mendapat sokongan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang turut menyumbang pengumpulan dana untuk menjayakan program ini. – ePena