Oleh: Dr. Nadratun Nafisah Abdul Wahab (Penyelaras Keusahawanan EDGE UPSI)

Tanjong Malim – Menyedari kepentingan pengurusan perniagaan secara praktikal, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyediakan kira-kira 22 unit tapak perniagaan bazar ramadan lengkap dengan kanopi, meja dan alatan lain untuk mahasiswa pusat pengajian tersebut menjalankan operasi bermula 23 Mac lalu sehingga 17 April ini.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, program yang mendapat kerjasama Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu melibatkan sebanyak 19 unit perniagaan yang dioperasi sendiri para pelajar yang dikenali sebagai ‘UPSIPRENEUR’ terletak di kawasan tempat parkir kenderaan di hadapan Masjid Al-Mursyiddin, Kampus Sultan Azlan Shah.

“Bazaar Ramadan UPSI 2023 telah memberikan peluang kepada  Mahasiswa UPSI menjalankan perniagaan dan menjual juadah berbuka puasa di dalam kampus,

“Selain mempraktikkan ilmu keusahawanan menerusi pengurusan masa, pengurusan kos dan risiko perniagaan, para Upsipreneur turut berhadapan dengan ragam dan kerenah pelanggan sekaligus memberi pendedahan awal dalam bidang keusahawanan sebelum mereka bergelar graduan kelak,” jelasnya.

Sementara itu menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin terdapat lebih daripada 50 jenis menu dengan pelbagai pilihan yang popular ketika musim ramadan disediakan sendiri oleh para pelajar antaranya seperti nasi campur, nasi kerabu,  roti john, murtabak, aneka mi seperti ramen, laksa, mi celup, sate, makanan ringan seperti corndog, donat serta pelbagai jenis air balang yang lazat dijual dengan harga yang amat berpatutan.

“Kepelbagaian pilihan menu yang disediakan bukan saja mendapat kunjungan para pelajar di kampus, sebaliknya para komuniti sekitar Muallim turut hadir memberi sokongan sekaligus menggalakkan jaringan penduduk sekitar dengan universiti sebagai pusat komunit,” jelasnya lanjut. – ePena

Nota Pengarang: Menghitung hari Ramadan meninggalkan kita semua

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)