Oleh: Profesor Madya Dr. Saripah Salbiah bt Syed Abdul Azziz

Tanjong Malim, 10 Mei 2023 – Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI dengan kerjasama Pusat Tramsformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Syarikat Anggun Aura Spa Health and Beauty telah menganjurkan Bengkel Pembuatan Sabun Aura Berasaskan Herba Dan Bunga-Bungaan Semula Jadi.

Bengkel ini diketuai oleh Profesor Madya Dr Saripah Salbiah Syed Abdul Azziz selaku Pengarah Program bersama pensyarah, staf sokongan di Jabatan Kimia selaku ahli jawatankuasa dan dibantu oleh 8 orang pelajar dari program AT13 selaku fasilitator.

Sejumlah 19 peserta terdiri daripada anak-anak penghuni Pertubuhan Nur Kasih Behrang Stesen beserta pengurus, pelajar Sarjana Muda Sains Kimia , serta ibu tunggal dan seorang peserta orang kelainan upaya (OKU) dari Selangor telah menghadiri bengkel ini.

Menurut Dr Saripah Salbiah, Malaysia sememangnya dikenali kerana kepelbagaian sumber flora dan faunanya, justeru telah diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 12 negara ‘mega-kepelbagaian’ di dunia.

“Dianggarkan terdapat lebih kurang 20,000 spesies tumbuhan dan 14,500 adalah tumbuhan berbunga. Manakala, 2 000 spesies tumbuhan dilaporkan mempunyal nilai perubatan yang boleh digunakan untuk memelihara kesihatan dan berpotensi untuk dikomersilkan,”

“Justeru bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian tumbuhan herba yang terdapat di negara kita serta menghasilkan produk kesihatan iaitu sabun aura herba,” jelasnya

Sesi tayangan montaj mengenai FSM dan Syarikat Anggun Aura Spa Health and Beauty diadakan bagi memperkenal kedua-duanya kepada para peserta terutama dari komuniti luar UPSI.

Bengkel telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, FSM iaitu Dr Mohd Ikhwan Hadi Yaakob dan dimulakan dengan aktiviti meneka bauan herba dan menamakan beberapa herba yang disediakan.

Pengenalan pelbagai herba dan khasiat oleh Puan Zauyah Mat Hasan dan Dr Hasimah Alimon

Seterusnya sesi penerangan mengenai definisi sabun dan teori pembuatan sabun dikongsikan kepada peserta.

Kemudian diteruskan pula demonstrasi penghasilan sabun oleh penceramah yang merupakan pengasas Anggun Aura Spa Health and Beauty iaitu Puan Zauyah Mat Hasan dan mantan pensyarah biologi FSM iaitu Dr Hasimah Alimon.

Selepas itu, para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan lantas diminta menyediakan formulasi sabun aura berasaskan pelbagai herba dan bungaan yang dibekalkan.

Peserta begitu teruja, seronok dan bersungguh-sungguh membuat sabun berdasarkan kreativiti masing-masing.

Di akhir bengkel, didapati peserta berjaya mencipta sabun yang pelbagai saiz, bentuk, warna, dengan wangian yang sedap dan harum semula jadi.

Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas para peserta, bengkel ini berjaya berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada komuniti dalam kalangan belia/asnaf.

Ia juga dapat menimbulkan minat dan memberi keseronokan dalam mempelajari perkara baharu seperti mengenai alam herba, khasiat herba pada kesihatan dan penghasilan produk sabun daripada herba.

Sudah pasti ilmu ini boleh digunakan untuk menjana pendapatan sekiranya diberi pendedahan yang berterusan.

Akhir sekali pihak jawatan kuasa berpendapat bengkel ini perlu diteruskan di masa hadapan memandangkan pelbagai produk kesihatan lain seperti minyak aromaterapi, minyak wangi, losyen, mandian herba dan banyak lagi, boleh dihasilkan daripada khazanah hutan di negara kita yang masih belum diteroka sepenuhnya di samping memastikan ilmu berharga tinggalan nenek moyang dapat diwariskan kepada generasi muda dan keturunan seterusnya. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI