Oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril (melaporkan dari London)
London – Menyedari kepentingan memperkasa Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London untuk mempromosi bahasa kebangsaan itu di benua Eropah.
Menurut Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanahair serta hab pembangunan bakat, sekaligus memperkembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.
“MoU antara kedua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar antara kedua-dua institusi, perkhidmatan dan kerjasama dalam penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca tersebut,” jelasnya selepas menandatangani perjanjian persefahaman di School Of Oriental and African Studies (SOAS) University of London.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, sebagai institusi pendidikan terulung yang berusia 100 tahun lamanya, UPSI sentiasa mencari ruang memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus menjadikan pusat pengajian tersebut menjadi rujukan pendidikan di rantau ini terutamanya untuk kepentingan memartabatkan bahasa ibunda tersebut selaras dengan hasrat universiti memartabatkan kebitaraan pendidikan.
“UPSI yang terletak di Tanjong Malim, mempunyai sejarah panjang sejak dari zaman pra kemerdekaan telah menjadi pusat perkembangan pejuang kemerdekaan dan ilmuan orang Melayu kalangan rakyat jelata,”
“Menerusi semangat yang telah diinspirasi dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan 1922, kini UPSI menyimpan pelbagai khazanah untuk dikembangkan layarnya ke benua Eropah menerusi kajian dan penyelidikan di fakulti-fakulti, pusat bahasa mahupun Institut Peradaban Melayu yang telah bertapak di bumi Muallim,” jelasnya.
Sementara itu, turut hadir, Naib Canselor UnisZA, Professor Dr Fadzli Adam berkata dengan termeterainya kerjasama dapat dipergiat dan diperluaskan lagi bukan sahaja terhad kepada projek pendigitalan manuskrip yang sedang diusahakan sekarang namun turut membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang-bidang lain yang menjadi kekuatan dan tujahan bersama kedua-dua institusi SOAS dan UniSZA terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.
Delegasi KPT, UPSI dan UniSZA mengadakan ketika sesi lawatan semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di SOAS University of London, United Kingdom hari ini. – ePena
Turut disiarkan di: Bernama, BERNAMA BM, Bernama ENG, Bernama ENG, Berita Harian, Kosmo!, Sinar Bestari, FMT, New Strait Times, Astro Awani, Suara Merdeka