Teks/ video: Noraini Aminuddin


Tanjong Malim- Seramai lebih 150 kakitangan warga canseleri Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbusana baju melayu dan pakaian tradisional indah meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena mengisi program kekeluargaan program ‘Rabu untuk Qalbu’.


Program yang diterajui Bahagian Komunikasi Korporat diadakan bermula pukul 8.30 sehingga 11.00 pagi di perkarangan pejabat Institut Peradaban Melayu (IPM) Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, menyajikan pelbagai acara menarik seperti demostrasi ‘Anyam Ketupat Sampai Jadi’ oleh Penerbit Rancangan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Malek Sulamin, serta acara pertandingan memasak ‘Ketuk – ketuk Rendang Raya’, serta pelbagai sajian menu lazat turut disediakan secara potluck daripada lapan lagi pusat tanggungjawab (ptj) seperti Pusat Teknologi Maklumat (ICT), Bahagian Pengurusan Qualiti (BPQ), Jabatan Strategik, Bahagian Audit Dalaman, Bahagian Perundangan, Unit Integriti, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH) dan Institut Peradaban Melayu.


Menurut Penasihat Undang-undang UPSI, Salwati Mohd Aris berkata program sebegini mampu memupuk ukhwah dan mengeratkan hubungan antara kakitangan selain bekerja sambil membina keseronokan selaras dengan gagasan 5K Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff iaitu Kasih Sayang, Kekeluargaan, Keseronokan, Kesegeraan dan Kreativiti dalam pengurusan universiti.


“Pelaksanaan sambutan bertemakan ‘Rabu untuk Qalbu’ mengangkat tema meriahnya sambutan Hari Raya membentuk hubungan erat dan semangat kekeluargaan di kalangan kakitangan seterusnya memberi motivasi untuk berkomunikasi antara satu jabatan dengan jabatan yang lain,”

“Menerusi sambutan ini, sekaligus menyemai semangat cinta dan bangga pada organisasi UPSI untuk lebih bitara di persada bidang pendidikan tanahair,” jelasnya ketika ditemui ePena selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai pertandingan yang dianjurkan.

Acara ‘Ketuk-ketuk Rendang’ paling mendapat tumpuan apabila keseluruhan wakil ptj diminta untuk menyediakan sajian rendang bermula daripada penyediaan bahan, tumisan, memasak dan disaji dengan hiasan mengikut kreativiti masing-masing.

Di sinilah setiap peserta akan diuji dengan kecekapan penyediaan ramuan sehingga dapat memikat hati juri menilai tiga kriteria utama pertandingan iaitu keaslian rasa rendang, semangat kerjasama antara pasukan, kebersihan dan gubahan hiasan persembahan sajian itu sendiri.

Seusai dua jam tempoh masa diberikan, para peserta dinilai jemputan Pensyarah Universiti Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Mohd Nazri Abdul Raji dan secara muktamad mengangkat Pusat Teknologi Maklumat sebagai juara pertandingan memasak rendang antara ptj portfolio canseleri.

ICT ungguli keseluruhan acara. Tahniah

Jabatan Strategik turut berjaya memikat hati juri apabila memperoleh tempat kedua manakala gandingan dua ptj dalam satu pasukan iaitu BPQ UPSI dan ROSH UPSI nampaknya turut mengungguli tempat ketiga dalam persaingan sengit pertandingan sajian masakan tradisional popular tersebut.

Memeriahkan lagi kehangatan, dua pengunjung yang menepati kriteria pemakaian lengkap busana tradisi serta mengikut garis panduan pemakaian universiti, iaitu Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Mohamad Afiffy Mohamad Azemi tampil paling bergaya di kalangan kakitangan lelaki manakala Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Nadiatul Atiqah Abdul Karim pula dipilih daripada kalangan wanita. Menariknya kedua-dua pengunjung ini merupakan daripada kakitangan ICT.

Kesemua pemenang utama dan peserta acara ‘Ketuk-ketuk Rendang Raya’ dan pengunjung paling bergaya membawa pulang hadiah berupa hamper. – ePena

Nota Pengarang: Ayuh sama-sama kita jayakan Sambutan Hari Guru yang akan berlangsung 17 Mei ini di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah. Turut meraikan dalam suasana Hari Raya dan sempena Perhimpunan Bulanan Mei nanti. Jumpa di sana!

@dnorhayatihood
@marinimasdar