oleh: Hafiz Abd Manap (Pegawai U-Media Kolej Ungku Omar)

Kolej Ungku Omar: Menyedari sukarnya untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat bergraduat pada masa kini, ditambah pula dengan keadaan negara yang sedang beransur pulih selepas pandemik covid-19 yang melanda dunia serta bilangan kadar pengangguran tidak menentu, sektor pendidikan turut sama terkena tempias perubahan mendadak ekonomi ketika ini.

Namun, pandemik ini juga dilihat membuka peluang luas dalam pelbagai aspek termasuk keusahawanan khususnya dalam kalangan mahasiswa yang masih dalam tempoh pengajian dan mereka yang bakal bergraduat.

Mohd Nizam Nasrifan bersama pengurusan kolej serta kru Lepak Jap Café bergambar setelah selesai majlis

Keusahawanan bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan mahasiswa dan mereka disarankan menerapkan ilmu itu yang juga sebahagian daripada lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Pengetua Kolej Ungku Omar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan berkata, ciri-ciri keusahawanan yang dimaksudkan PPPM bukan bermaksud semata-mata untuk menghasilkan usahawan dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana objektif pembelajaran peringkat tertinggi membabitkan ruang lingkup yang lebih luas.

Menurutnya, kebolehan menguasai dan mengurus ilmu dalam jurusan yang diambil serta penerapan nilai teras universiti, antara tanggungjawab yang wajib dicapai graduan disamping itu mahasiswa juga seharusnya berani meneroka sesuatu yang baharu untuk mencabar apa-apa norma kebiasaan dalam mencari penyelesaian dan berdiskusi bagi mendapatkan jawapan dan tindakan yang tepat.

Justeru itu, Kolej Ungku Omar melalui Exco Ekonomi dan Keusahawanannya telah menggunakan ruang keusahawanan yang disediakan di kolejnya dengan mewujudkan Lepak Jap Café yang betul-betul beroperasi bersebelahan Pejabat Am Kolej Ungku Omar. Lepak jap Café merupakan satu-satunya kafe yang diuruskan oleh pelajar KUO itu bertemakan santai yang dibuka setiap hari bermula pada jam 5.00 petang sehingga 11.00 malam dan ditutup pada hari Sabtu.

Mohammad Nazrullah Alias pelajar semester tiga yang telah diberi kepercayaan menguruskan kafe tersebut meluahkan rasa bangga dan teruja dengan semangat dan pengorbanan yang diberikan oleh Majlis Mahasiswa Kolej sehingga mereka mampu mewujudkan dan menambah baik kafe tersebut bagi membantu mahasiswa menjana pendapatan ketika masih dalam dunia pembelajaran bagi menampung keperluan harian di universiti.

Tambah beliau, buat masa ini Lepak Jap Café menyediakan makanan fast food yang mudah dan cepat disediakan kepada pelajar antaranya burger, Kentang Bulgogi, Roti John dan beberapa sajian minuman ice blended seperti Green Tea, Cappuchino, Mocha, Chocolate dengan harga yang berpatutan.

Menurut Mohd Nizam Nazrifan, pihak universiti amnya serta pengurusan kolej khususnya sentiasa membantu menyokong mahasiswanya yang ingin meneroka sisi keusahawanan dalam meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa selepas mereka bergraduat kelak.

Bidang baru yang mereka terokai ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan sampingan, malah mereka berpeluang menimba ilmu berkaitan pengurusan kewangan dan perniagaan disamping usaha sama dan berkolaborasi secara langsung dengan agensi luar dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Majlis pelancaran Lepak Jap Café itu turut dihadiri barisan pentadbiran dan felo Kolej Ungku Omar sebagai tanda sokongan mereka terhadap pembukaan ruang santai itu kepada mahasiswa. Pada majlis sama, Mohd Nizam Nasrifan turut melancarkan Kiosk Qaseh Mesra yang dibuka secara percuma khas buat mahasiswa kolejnya yang ingin meletakkan barangan jualan bagi membantu menjana pendapatan mereka di universiti. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)