oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Unit Foto BKK

Tanjong Malim 17 Mei 2023 – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPSI berkenan mencemar duli lafaz pelancaran serta menganugerahkan kurniaan Anugerah Guru kepada 23 orang tokoh penerima hadiah tersebut di hadapan lebih lima ribu pengunjung yang terdiri daripada warga universiti, para guru, kakitangan kerajaan, para alumni serta masyarakat sekitar daerah Muallim.

Cendekiawan, perancang bahasa, tamadun Alam Melayu dan persuratan, Senator Datuk Seri Profesor. Dr. Awang Sariyan mengungguli Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023.

Memegang jawatan penting sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor ini pernah menyandang Kursi Za’ba di UPSI, serta penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing, serta menjadi Professor tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya juga beliau telah menerbitkan 70 buah buku ilimiah, buku umum, buku teks serta buku himpunan puisi dan menerbitkan lebih dari 500 makalah dalam jurnal, majalah dan surat khabar serta lebih 200 kertas kerja dan syarahan disampaikan seluruh pelosok dunia.

Awang menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM 5 ribu ringgit, selempang tokoh serta sijil iringan.

Selain Tokoh Guru Suluh Budiman, Tuanku Zara turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Alumni kepada sembilan penerima antaranya Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari, Sasterawan Negara 2022, Datuk Rahman Shaari, Penerima Hadiah Sastera Malaysia 2014, Profesor Dr. Abdul Halim Ali dan Komposer terkenal Rozman Shafie (LY).

Seterusnya 15 guru turut terpilih menerima Anugerah Guru Cemerlang antaranya Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan, Abd Rahman Ali Bashah, Pemenang Malaysia Teacher Prize 2022, Anuthra Sirisena, Tokoh Sambutan Maulidur Rasul Negeri Melaka 2021, Chan Chin Ho, penerima Anugerah Global Teacher 2021, Komathy Veerasinghan, Mantan Menteri Pelajaran Kanan Brunei, Datuk Paduka Muhammad Taha Abdul Rauf, Mantan Menteri Negara Kanan Singapura, Datuk Seri Sidek Saniff dan ramai lagi.

Keseluruhan penerima Anugerah Tokoh Guru Alumni dan Anugerah Guru Cemerlang membawa pulang duit syiling ‘Peringatan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI’ dan sijil iringan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff mengiringi keberangkatan baginda Tuanku Canselor.

Md Amin dalam ucapannya mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Permaisuri ke Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru yang dianjurkan pusat pengajian pendidikan terulung tersebut.

Menurutnya, majlis yang dianjurkan setiap tahun tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk menghargai jasa pengorbanan seorang insan bergelar guru yang telah menabur bakti mendidik bangsa tanpa jemu.

“Jika ditelusuri sejarah tanah Muallim, di sini lahirnya insan termulia yang bergelar guru,”

“UPSI telah melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara, bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) sehingga terukirnya nama-nama tokoh guru yang hebat Pendeta Za’ba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Haji Yaakub, Tun Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi tokoh pendidik yang memberi inspirasi kepada kita dalam menabur bakti sebagai warga pendidik,” jelasnya.

Menurut Md Amin lagi, seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, UPSI selaku Peneraju Kebitaraan Pendidikan sentiasa berusaha mengorak langkah menerajui kecemerlangan pendidikan merangkumi tiga intipati insaniah iaitu Integriti, Adab dan Akhlak.

Majlis sambutan turut diwarnai dengan bacaan ikrar guru, persembahan koir dan tarian tradisional kontemporari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, serta jamuan santapan. – ePena

Turut diterbitkan di: Bernama, Kosmo!, Buletin TV3, Utusan, Astro Awani, Suara Merdeka, MalayNews, Berita Harian, Harian Metro, Utusan Borneo, Dewan Masyarakat, LUMINews dan banyak lagi.

Ihsan Buletin Utama TV3 17 Mei 2023

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)