oleh: Mohd Raizol Ramli (Pegawai U-Media UKLK)

Hulu Selangor – Memperkasa agenda keselamatan komuniti merupakan satu keperluan yang amat penting dalam sesebuah masyarakat seiring dengan situasi dan persekitaran semasa. Menyedari kepentingan tersebut kepada penduduk Kampung Seri Keledang, Majlis Mahasiswa Kolej, Unit Kediaman Luar Kampus UPSI mengadakan program ‘Hari Kesedaran Keselamatan Komuniti” bertempat di Sekolah Kafa Integrasi, Kampung Seri Keledang.

Menurut Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus,Prof Madya Dr Che Ghani Che Kob, program kesedaran keselamatan ini diadakan melalui sesi perkongsian daripada dua agensi kerajaan iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Balai Bomba Kuala Kubu Bharu. Melalui perkongsian tersebut, mereka telah maklumat berkaitan peranan dan tugas serta tips-tips keselamatan kepada penduduk kampung.

“AADK mempunyai beberapa bahagian iaitu Unit Pencegahan, Unit Rawatan, Perubatan & Pemulihan dan Unit Penguatkuasaan & Keselamatan,”

“Setiap unit memainkan peranan dan fungsi masing-masing dalam usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah,”

“Bagi pihak Bomba Malaysia, tugas dan peranan anggota pada masa kini bukan hanya memadam kebakaran atau membantu mencari mangsa lemas tetapi banyak lagi seperti kemalangan jalan raya, tanah runtuh, pemusnahan sarang tebuan, khidmat kemanusiaan dan lain-lain,” jelasnya

Menurut Pengarah Program ‘Hari Kesedaran Keselamatan Komuniti’, Rabiatuladawiyah Nur Ameerah Nizammudin, penduduk dan pelajar sekolah yang hadir memperolehi maklumat dan panduan yang sangat penting dalam urusan harian. Peringatan berkaitan bahaya dadah, kesan-kesan merokok, alat pemadam api dan tip-tips mengawal kebakaran menjadi tumpuan para peserta.

“Saya bagi pihak jawatankuasa merakamkan penghargaan kepada Mohd Azmuddin Abu Bakar, Pegawai AADK dan PBK II Mohd Adnan Abd Jamil, Pegawai Bomba kerana sudi berkongsi ilmu kepada pelajar dan penduduk Kampung Seri Keledang”, tambah beliau. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)