Oleh: Nor Hayati Aziz (Pegawai U-Media PUA)

Tanjong Malim – Program Jelajah Ulul Albab Ke MRSM Bagan Datuk anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab dengan kerjasama Pusat Ulul Albab berjaya mengumpulkan 184 orang pemimpin pelajar dalam program Kem Kepimpinan Siri 2.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh berkata inisiatif Pusat Ulul Albab dan MRSM Bagan Datuk dalam membantu pelajar daripada Badan Wakil Pelajar (BWP), Ahli Lembaga Koperasi (ALK), Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR), Pembimbing Rakan Sebaya (PEERS), Lembaga Disiplin Pelajar (LDP), Pustakawan, Jawatankuasa Pengurusan Asrama (JPA) dan English Motivational Committee (EMC) mendapat sambutan menggalakkan. Menurut beliau, matlamat program adalah untuk meningkatkan penguasaan dan pemerkasaan elemen pengucapan awam, penulisan kertas kerja dan laporan serta penulisan berita pelajar.     

Dalam elemen pengucapan awam peserta didedahkan dengan teknik-teknik bagaimana membentuk keyakinan dalam diri ketika berucap di hadapan khalayak masyarakat dengan pembawaan diri sebagai seorang pemimpin. Elemen modul yang dibawa dalam pengucapan awam adalah B.I.G iaitu bahasa, intonasi dan gaya.

Peserta juga diberi pendedahan berkenaan proses melaksanakan kertas kerja yang lengkap dalam sesuatu program. Modul-modul yang dilaksanakan bukan hanya bermatlamat untuk mencapai kecemerlangan akademik bahkan juga mendedahkan para pelajar untuk meneroka pembelajaran melalui pengalaman di luar bilik darjah. Aktiviti di luar bilik darjah memberikan pengalaman kepada para peserta untuk membina semangat kerjasama dan menghayati nilai-nilai murni serta membentuk kepimpinan dalam diri mereka sebagai seorang pemimpin. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI