Oleh: Nor Hayati Aziz (Pegawai U-Media PUA)
Tanjong Malim, 16 Mei 2023 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) serta Persatuan Pengajian Malaysia (PPMAS) berjaya menganjurkan program Bicara Siswa: Kita Rakyat Malaysia!. Program ini dianjurkan sempena Perjumpaan Mingguan Khas Kelab Sahabat Ulul Albab yang dibuka kepada ahli Kelab Sahabat Ulul Albab dan mahasiswa UPSI.
Program Bicara Siswa: Kita Rakyat Malaysia! telah menampilkan Tay Ping Chek, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Shawn Christien Fabian, Timbalan Yang Dipertua Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) dan Abd. Haiyee bin Hassan, EXCO Latihan & Pembangunan Sahsia (LPS) Persatuan Pengajian Malaysia (PPMAS) sebagai panel program. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dengan lebih mendalam akan kepelbagaian budaya dan amalan dalam sambutan perayaan kaum dan etnik di Malaysia.
Seramai hampir 300 mahasiswa UPSI hadir memeriahkan program secara bersemuka, manakala 25 mahasiswa menyertai siaran secara langsung melalui Facebook Live. Sambutan menerusi mahasiswa dilihat sebagai satu wadah yang sangat baik dalam mengeratkan lagi hubungan di antara Pusat Ulul Albab dan KeSUA bersama persatuan dan mahasiswa UPSI yang lain.
Perkongsian ketiga-tiga panel melingkupi aspek perayaan yang disambut di Malaysia. Saudara Abd. Haiyee bin Hassan merupakan panel berbangsa Melayu yang menyambut Hari Raya Aidilfitri serta Hari Raya Aidiladha, saudara Shawn Christien Fabian pula merupakan panel daripada Sabah, manakala saudara Tay Ping Chek merupakan panel berbangsa Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Perkongsian ini dapat memberi peluang kepada panel untuk memperkenalkan perayaan masing-masing dengan lebih bermakna.
Menerusi perkongsian dari ketiga-tiga panel, ia membuka mata mahasiswa untuk menerima perbezaan perayaan yang terdapat di Malaysia. Namun begitu, ia tidak menjadikan perbezaan sebagai satu punca perpecahan tetapi sebagai wadah untuk bersatu dan saling menghormati.
Melalui pelaksanaan Bicara Siswa: Kita Rakyat Malaysia!, diharapkan agar mahasiswa dapat menimba pengetahuan berkenaan perayaan yang disambut oleh rakyat Malaysia. Di samping itu, diharapkan agar melalui pelaksanaan program ini, Kelab Sahabat Ulul Albab dan Pusat Ulul Albab menerima penglibatan dan sokongan secara meluas daripada persatuan-persatuan UPSI dan seluruh mahasiswa UPSI. – ePena