Oleh: Nur Aisyah Hannah Mohd Jamil (AJK Karnival STEM)
Hulu Selangor, 27 Mei 2023 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) 2023 telah menganjurkan Mini Karnival STEM bersama anak-anak penduduk Kg. Sri Kledang. Karnival ini telah dirasmikan oleh Pengetua UKLK iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob.
Melalui ucapan Pengetua, beliau berharap agar anak- anak pelajar ini dapat membuka mata dalam bidang STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik supaya dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan mendapat peluang untuk menuntut ilmu di UPSI sendiri.
“Saya berharap melalui program STEM yang membawa maksud ‘S – Science’, ‘T – Technology’, ‘E – Engineering’ dan terakhir ‘M – Mathematic’, anak-anak dapat bermain sambil belajar serta ilmu tersebut dapat memberi peluang mencungkil bakat dan galakan kepada mereka untuk berfikir secara kreatif dan berinovasi dalam bidang ini. Seterusnya dapat menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan menyertai kami di UPSI.” Jelasnya semasa ucapan perasmian Karnival STEM.
Dua pertandingan telah dilangsungkan iaitu Roket Air yang disertai oleh 10 kumpulan yang melibatkan dua orang pelajar dalam satu kumpulan dan Sudoku. Mereka telah diberikan penerangan oleh ahli jawatankuasa bertugas sebelum pertandingan bermula. Pelajar dibekalkan empat barang iaitu botol 1.5L, kotak, kad manila dan gunting. Mereka juga diberi peluang menonjolkan sisi kreativiti dalam mencipta roket. Kumpulan roketnya terbang paling jauh dinobatkan sebagai pemenang.
Manakala pertandingan kedua ialah pertandingan Sudoku yang telah dijalankan serentak bersama pertandingan Roket Air. Sebelum bermula, ahli jawatankuasa telah memberi penerangan kaedah dan peraturan permainan Sudoku. Penyertaan ini merupakan kategori individu yang disertai seramai 10 orang peserta.
Akhir sekali, para pemenang bagi pertandingan Roket Air dan Sudoku diraikan dengan pengumuman semasa majlis penyampaian hadiah. Para pemenang telah membawa pulang trofi, hamper dan sijil. – ePena