Oleh: Amrina Rosyada Abdullah dan Shakila Che Dahalan
Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Jabatan Sejarah telah menjalankan satu program cakna kecemerlangan akademik Sejarah pada 15 April 2023 yang lalu. Program berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama dan tajaan sepenuhnya daripada Pejabat Penghulu Mukim Hulu Bernam, Selangor.
Program yang melibatkan seramai 30 orang murid sekolah menengah di kawasan Hulu Bernam. Kawasan Hulu Bernam dipilih kerana kebanyakan pelajar di kawasan tersebut terdiri daripada pelajar B40 yang kurang berkemampuan tetapi memiliki potensi untuk lebih cemerlang. Rasional pemilihan murid-murid ini sebagai kumpulan sasaran adalah untuk membantu murid-murid tersebut meningkatkan lagi pencapaian subjek Sejarah khususnya sebagai persediaan dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar Sejarah UPSI untuk mengaplikasikan pendekatan aktif dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Sejarah yang disepadukan dengan pelbagai teori pengajaran dan inovasi. Inovasi-inovasi yang dibangunkan oleh mahasiswa Sejarah UPSI merupakan penambahbaikan terhadap inovasi sedia ada bagi memastikan ianya sesuai digunakan dalam konteks pendidikan Sejarah. Hasil daripada program ini menunjukkan impak positif kepada murid-murid apabila dilihat pencapaian akademik mereka semakin meningkat iaitu 25 orang mendapat A daripada keputusan sebelum ini. Tambahan, berlakunya juga perubahan minat dan motivasi murid terhadap mata pelajaran Sejarah setelah pengaplikasian inovasi dalam PdPc.
“Saya percaya peningkatan pencapaian ini didorong oleh kewujudan inovasi pengajaran yang menyeronokkan dan juga pengaplikasian kaedah PAK21 sepanjang sesi PdPc berlangsung di dalam program ini”, Penghulu Kampung, Tuan Haji Jamil Abu Bakar.
Murid sekolah yang terlibat juga menzahirkan rasa terima kasih kerana menjalankan program ini. Mereka yang awalnya agak pasif dalam sesi PdPc dan kurang menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Kesan penggunaan inovasi yang disepadukan dengan pendekatan pengajaran abad ke-21, mereka mula menunjukkan perkembangan yang positif. Murid-murid juga kerap bertanyakan soalan kepada guru. Semoga program ini akan diteruskan secara program jangka panjang agar golongan sasaran sekitar UPSI mencapai kecemerlangan akademik seiring kecemerlangan UPSI yang menerajui kebitaraan pendidikan global.