Oleh: Nor Hayati Aziz (UKLK)

Hulu Selangor, 28 Mei 2023 – Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah melaksanakan “Program Bakti Siswa Bersama Masyarakat Kg. Seri Keledang: Mahasiswa Ke Desa” yang melibatkan 15 keluarga angkat dan 35 orang peserta daripada UPSI termasuk pelajar antarabangsa dari China.

Menurut Pengarah Program, Ma Chen yang juga merupakan pelajar antarabangsa dari China, program Bakti Siswa yang bertemakan “Mahasiswa Ke Desa” ini adalah untuk memupuk rasa prihatin dalam kalangan mahasiswa sekali gus sebagai perpindahan ilmu merangkap pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti setempat.

“Program ini merupakan tunjang dalam memperkukuhkan lagi peribadi pelajar UPSI dalam menerajui serta memimpin diri sendiri, dengan melengkapkan personaliti bukan hanya berpegang pada status akademik yang cemerlang semata-mata tetapi dari sudut kesukarelawan.

Program selama tiga hari ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Rosni Sohar, ADUN Hulu Bernam. Dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini berkonsepkan khidmat sosial yang mana mahasiswa boleh mendapatkan pengalaman juga meningkatkan keterlibatan mahasiswa dalam membangun masyarakat setempat. Menurutnya lagi, program itu bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan, pertumbuhan ekonomi dan penjagaan alam sekitar melalui penglibatan mahasiswa, pensyarah dan kakitangan institusi pendidikan.

“Mahasiswa merupakan aset terpenting dalam memacu pembangunan negara dan peranan mahasiswa bukan sahaja melalui percambahan idea dan akademik malah aspek kokurikulum juga merupakan elemen penting dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berkompeten.

“Program Bakti Siswa ini memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya di Kampung Seri Keledang, Kuala Kubu Baru,” katanya pada Majlis Perasmian Program Bakti Siswa : Mahasiswa Ke Desa”.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, menurutnya, antara pengisian program kali ini adalah penternakan lebah kelulut, gotong-royong, sukaneka, ceramah agama, ceramah dan pameran dari agensi bomba dan AADK, pertandingan roket air, soduku serta sesi bersama penduduk setempat. Katanya lagi, program sebegini ternyata dapat memberi manfaat buat semua pihak, sekaligus memberikan nilai dan kenangan yang berharga buat para mahasiswa yang terlibat selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW; “Sebaik baik manusia adalah memberi manfaat untuk orang lain”. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI