Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan (Pegawai U-Media NCDRC)

Pada 22 Mei 2023, Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah (Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr. Masayu Dzainudin (Timbalan Pengarah Akademik, Perkembangan Kanak-Kanak dan Sistem Data) UPSI telah mewakili NCDRC melalui usahasama menjayakan perjanjian MoA bersama Philipine Normal University (PNU). Lawatan ini juga adalah untuk menggalas misi penting menjadikan UPSI sebagai Universiti No.1 Pendidikan bukan hanya di Malaysia, tetapi di peringkat negara ASEAN.

NCDRC, UPSI sedang dalam usaha melanjutkan kerjasama bersama Philipine Normal University (PNU) selaku Pusat Kecemerlangan Pendidikan Guru di Filipina.  Sebelum ini PNU telah menghantar pensyarah mereka untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di UPSI dan tujuh daripada graduan tersebut telah berjaya memperoleh Graduate On Time (GOT).

Untuk kerjasama strategik pada kali ini, MoA di antara kedua universiti akan ditandatangani bagi meneruskan penghantaran pelajar pascasiswazah dan juga kolaborasi penyelidikan dengan melaksanakan geran sepadan kajian berfokus kepada bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Selain itu, Dr. Nora dan Dr. Masayu juga turut mengunjungi Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (DSWD) Filipina yang bertanggungjawab untuk menggalakkan pembangunan sosial dan melindungi kebajikan sosial dan hak-hak warga Filipina. Lawatan kerja ini bagi menyampaikan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik berkaitan penyelidikan, perundingan dan latihan yang berfokuskan kepada pembangunan pendidikan kanak-kanak di Filipina. 

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, berdasarkan keperluan untuk memperkasakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di kedua-dua buah negara, satu kerjasama perlu diwujudkan bagi mempertingkatkan kepakaran dalam bidang ini. Melalui perjanjian usahasama yang termeterai, kedua-dua universiti bakal menerajui dari segi kepakaran penyelidikan melalui geran penyelidikan dan perundingan dalam bidang PAKK.

Kerjasama ini juga bakal memberi peluang untuk mewujudkan pusat kecemerlangan di kedua-dua buah negara, selain membuka jalan dengan melibatkan program mobiliti pendidik dan pelajar.

Diharapkan dengan kerjasama ini kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak di kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan. Selain itu, peranan NCDRC dapat diperluaskan di persada negara-negara ASEAN melalui potensi kerjasama membangunkan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak serantau. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)