Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan (Pegawai U-Media NCDRC)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) merupakan universiti pertama menyediakan keperluan Taska dan Tadika sebagai pusat rujukan di peringkat kebangsaan. Taska dan Tadika di NCDRC UPSI bukan hanya menjadi penanda aras bagi Permata Q dan rujukan Tadika di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, malahan turut menjadi rujukan tempat bagi agensi di luar negara. Konsep pendidikan berteraskan pendekatan projek melalui latihan bersepadu dan berkala di NCDRC menjadikan barisan guru mereka sangat kompeten dan cemerlang.
Tidak hairanlah bila NCDRC sering meniti kejayaan pendidikan di peringkat negeri Perak selaku Guru Cemerlang kategori swasta sejak tahun 2021 lagi. Kejayaan terbesar NCDRC diraih lagi apabila Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor memenangi Anugerah Guru Cemerlang peringkat negeri Perak pada 2022 sehingga melayakkan beliau untuk tercalon dalam Anugerah Guru Inovasi Prasekolah swasta peringkat kebangsaan. Shazira akhirnya telah diumumkan sebagai Naib Johan Anugerah Guru Inovatif peringkat kebangsaan pada 16 Mei 2023 yang lalu bersempena Hari Guru peringkat kebangsaan di Melaka.
Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Ira dilahirkan di Ipoh, Perak pada 31 Mac 1987. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Kulim, seterusnya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi Kulim. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Perakaunan di Politeknik Ungku Omar.
Minat beliau dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak mendorong beliau untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dan sarjana dalam bidang Pendidikan awal kanak-kanak di UPSI. Sepanjang perkhidmatan, beliau banyak melibatkan diri dalam bidang penyelidikan, penerbitan, inovasi, dan perundingan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Beliau juga banyak menerima jemputan sebagai penceramah daripada agensi luar bagi berkongsi kepakaran terutamanya dalam strategi pengajaran dan pembelajaran awal kanak-kanak.

Beliau juga merupakan pakar dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan pendekatan projek. Strategi pengajaran ini juga sering menjadi rujukan oleh pendidik luar dan dalam negara. Melalui pendekatan ini, beliau telah berjaya menerbitkan buku panduan bertajuk ‘Projek Mulberi’ sebagai rujukan lengkap guru-guru Prasekolah kerajaan dan juga swasta dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berasaskan pendekatan projek. Beliau juga telah menyumbang dalam penghasilan bahan bacaan berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak. Antaranya ialah buku cerita bertema kanak-kanak, modul dan kit taska wise start, modul jauhar, modul stream prasekolah, buku siri anak baik Upin dan Ipin, Polisi dan Prosedur Wise Start Educare Centre dan buku panduan pendidik wise start.
Sepanjang penglibatan beliau di Tadika Bitara NCDRC, beliau telah menerima beberapa anugerah terutama dalam inovasi kaedah pengajaran dan pembelajaran, seperti Johan Guru Cemerlang Sekolah Swasta peringkat negeri Perak pada tahun 2022, Johan Guru Cemerlang Sekolah Swasta peringkat daerah Mualim pada tahun 2022, pingat perak dalam Malaysian Technology Expo (MTE) 2022 bagi projek Online Digital Education Platform, pingat emas dalam Malaysian Technology Expo (MTE) 2021 bagi projek Paving The Future: Wise Start Kit, pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Pembelajaran UUM 2019 bagi projek Wise Start @ Upsi Kit: Flourishing Child’s Development, pingat emas dalam pertandingan K-Novasi Pengajaran & Pembelajaran UKM Bangi bagi projek Pendekatan Projek (Project Approach).

Dengan kejayaan manis yang dirangkul oleh Shazira menjadikan NCDRC terus melonjak dalam kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari segi pengajaran, penyelidikan, perundingan, perkhidmatan dan pengkomersilan. Diharapkan juga, kejayaan ini dapat memacu pertumbuhan dan perkembangan industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan lebih baik di negara kita. – ePena