Oleh: Siti Khairanie Mohd Roslan (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
Bangi – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Bahasa dan Komunikasi memeterai perjanjian persefahaman bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sebagai rakan strategik bersama di Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya & Media Kontemporari (GLOCOM) 2023 yang berlangsung pada 13 Julai yang lalu.
GLOCOM 2023 merupakan inisiatif IPPTAR memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan penjawat awam dalam sektor komunikasi. “Memupuk Ilmu untuk Komunikasi Masa Depan” sebagai tema persidangan diselaras dengan prinsip dan matlamat konsep Madani dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan maju menerusi penerimaan perubahan selain menggabungkan pelbagai perspektif pelaksanaan pembaharuan substantif melalui kerjasama akademik dalam industri komunikasi yang pesat.
Menerusi perjanjian bersama ini membolehkan kedua-dua institusi menjadi wacana pembentangan kertas penyelidikan akademik serta pusat perbincangan dalam pembangunan komunikasi tempatan juga antarabangsa yang ditandatangani secara bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mastura Ahmad Mustafa dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Dr. Marzita Puteh.
Ia disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama Ketua Bidang Akademik (IPPTAR), Kumaran Subramaniam serta Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (UPSI), Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad.
GLOCOM 2023 turut melibatkan pembentangan 60 kertas penyelidikan akademik dan dua perkongsian pengalaman dalam bidang Keselamatan Siber, Komunikasi Kesihatan, Media Baharu, Penyiaran, Kewartawanan, Komunikasi Korporat, Komunikasi Budaya, Komunikasi Pemasaran serta Bahasa dan Komunikasi oleh ahli akademik tempatan dan luar negara juga pengamal media.
MoU telah membuka ruang kertas akademik terpilih diterbitkan dalam penerbitan jurnal Indeks Scopus atau Excellence Research Australia (ERA) (MyCite) dan penjenamaan semula Edisi ke-3 e-Journal IPPTAR sebagai Jurnal Media, Komunikasi dan Penyiaran (Jurnal MeCast) yang diindeks dalam MyJournal.
Selain itu, ia menandakan satu peristiwa penting menunjukkan hubungan kukuh antara IPPTAR dan UPSI. Kedua pihak akan terus menyokong antara satu sama lain dalam setiap aktiviti yang merangkumi akademik, penyelidikan dan inovasi, modul latihan dan pembangunan mahasiswa.