Oleh : Nur Azean binti Abd Rahim (Fakulti Sains Kemanusiaan)
Sungai Siput – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Jabatan Pengajian Malaysia telah berjaya menjalankan program Pembelajaran Komuniti Murid Orang Asli (PKMOA) di Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Sungai Siput (U), Perak pada 21 sehingga 23 Jun 2023 yang lalu. Program PKMOA berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama sepenuhnya daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Program Pembelajaran Komuniti Murid Orang Asli (PKMOA) merupakan program di bawah Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Objektif pelaksanaan SULAM adalah untuk menghasilkan pelajar universiti yang bersifat holistik serta mampu menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif. Pelaksanaan SULAM ini juga turut memberi pendedahan kepada pelajar universiti secara langsung bersama komuniti setempat serta mewujudkan jaringan kerjasama antara masyarakat, universiti, industri dan NGO melalui program SULAM.
Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan matlamat dan objektif pelaksanaan SULAM di peringkat universiti, kursus HNP3106 Pengajaran Pengajian Am telah berjaya menjalankan PKMOA selama 3 hari melibatkan seramai 52 orang pelajar di bawah program Pengajian Malaysia dengan pendidikan.
PKMOA ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal guru pelatih mengenai reka bentuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah khususnya di sekolah murid Orang Asli di samping menerapkan kemahiran pedagogi yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Program PKMOA ini juga membantu memberi input dan pengalaman mengajar di luar bandar terutamanya di kawasan pedalaman serta membantu bakal guru pelatih untuk merangka strategi, pendekatan dan kaedah PdP yang sesuai dilaksanakan kepada murid Orang Asli.
Turut sama hadir dalam merasmikan majlis penutupan program Pembelajaran Komuniti Murid Orang Asli (PKMOA) ialah Pegawai SISC, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, En. Khairulamri Sulaiman.
“Program PKMOA ini wajar dilaksanakan agar dapat memberi nilai tambah pengetahuan bakal guru pelatih mengenai situasi dan senario pembelajaran murid Orang Asli. Saya yakin pelaksanaan program ini akan dapat memberi pengalaman yang bermakna kepada bakal guru pelatih agar bersedia mendepani cabaran mengajar di kawasan pedalaman”. katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan program PKMOA pada 23 Jun yang lalu.
“Menerusi program PKMOA ini dapat membantu bakal guru pelatih meningkatkan kecekapan dan literasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memberi input pengalaman mengajar di luar bandar khususnya di kawasan pedalaman. Pengalaman mengajar ini dapat membantu mengatasi isu guru tidak lapor diri atau menolak penempatan perkhidmatan di kawasan pedalaman.” katanya lagi.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Legap, En. Mohammad Sayuti Ahmad berkata “Saya amat mengalu-alukan program sebegini dilaksanakan di sekolah murid Orang Asli. Ia bukan sahaja menambahkan pengetahuan dan kecekapan kemahiran mengajar kepada guru pelatih malah program sebegini membantu merangsang kehadiran murid Orang Asli untuk terlibat dalam program sekolah.” Sekolah Kebangsaan Pos Legap merupakan sekolah murid Orang Asli gred A yang mempunyai jumlah murid seramai 321 orang meliputi 25 orang murid pra-sekolah, 26 orang murid PPKI serta murid-murid Tahun 1 sehingga Tahun 6.
Turut diadakan program Santun Komuniti Orang Asli di Pos Yum bagi memberi penerangan kepada ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan anak-anak Orang Asli di samping menggalakkan kehadiran murid-murid ke sekolah.
Pensyarah Kursus HNP3106, Pn. Nur Azean binti Abd Rahim menyifatkan program PKMOA sebagai satu latihan pra-praktikal kepada bakal guru pelatih sebelum menjalani latihan mengajar yang akan bermula pada Ogos ini. “Dalam program PKMOA, bakal guru pelatih diberi peluang mengaplikasi dan mengadaptasi kemahiran pedagogi dan komunikasi berkesan dalam proses PdP bersama murid Orang Asli.”
“Program PKMOA melatih bakal guru agar sentiasa bersedia mengajar dalam apa jua mata pelajaran di samping memberi khidmat kepada masyarakat setempat bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara. PKMOA sekaligus memberi pendedahan kepada bakal guru pelatih untuk memilih kaedah dan strategi PdP yang sesuai dan berkesan mengikut keupayaan dan ciri murid”.
Sukaneka Murid Orang Asli SK Pos Legap sebagai alat mengeratkan kemesraan antara murid Orang Asli dan guru pelatih
Selari dengan misi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjana ilmu menerusi pengajaran dan khidmat masyarakat bagi membangunkan insan mencapai wawasan negara, maka pelaksanaan PKMOA ini dapat melatih bakal guru agar lebih bersedia menjadi lebih berilmu, berketerampilan, berbakat tinggi, berakhlak mulia serta memberi sumbangan berterusan kepada kesejahteraan sejagat.
Projek Mini Library “Anda Hebat” dirasmikan oleh Pegawai SISC, PPD Kuala Kangsar, En. Khairulamri Sulaiman (tengah) sambil diperhatikan oleh Guru Besar SK Pos Legap, En. Mohammad Sayuti Ahmad (kanan)
Semoga program PKMOA ini dapat diteruskan secara bersepadu agar dapat memberi input-input berguna berkaitan kemahiran pedagogi berkesan murid Orang Asli kepada bakal guru pelatih di samping dijadikan sebagai medium dalam melahirkan bakal guru yang berilmu dan intelektual, berwawasan serta berkemahiran dalam memacu profesionalisme perguruan. Program PKMOA ini juga diharap berupaya membina jaringan kerjasama komuniti untuk menjana, mengembang dan berkongsi ilmu bagi melahirkan modul guru madani yang unggul dan berkualiti.
Warga SK Pos Legap dan peserta program PKMOA UPSI