Oleh: Mohd Raizol bin Ramli
Shah Alam – Menyahut dasar asas dan aspirasi nasional YB Menteri Pendidikan Tinggi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa selangkah maju ke hadapan dalam usaha membentuk kakitangan menjadi pakar rujuk dan tauladan dari segi aspek kepimpinan demi untuk memperkasakan mahasiswa Madani secara holistik.

Modul pengukuhan pasukan “mencari sebuah kesepakatan” dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Kokurikulum, UPSI
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) dan Pusat Ko-Kurikulum UPSI telah menjayakan Program Retreat JHEPA 2023 bertempat di Mardhiyyah Hotel & Suites pada 13 hingga 16 Julai 2023.
Program yang telah dihadiri oleh seramai lebih 160 kakitangan di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) telah berkampung selama 4 hari di sini serta dibekalkan dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti yang selaras dengan keperluan pembangunan mahasiswa Madani.
Ketika berucap sewaktu merasmikan program tersebut, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata pemerkasaan mahasiswa Madani UPSI mesti dimulakan dengan kepimpinan yang berwibawa serta berprestasi menjadi pemimpin yang berkesan. Ini kerana insan yang seharusnya menjadi tulang belakang dan rujukan utama di dalam proses melahirkan mahasiswa yang profesional dan memenuhi keperluan Industri adalah kakitangan universiti itu sendiri.

Program berjalan dalam suasana santai tetapi memberi impak
Sehubungan itu, ujar beliau, pemimpin universiti seharusnya berupaya menjadi inspirasi kepada mahasiswa, pensyarah dan profesor agar mereka yang berada di bawah naungannya menjadi lebih produktif, prihatin, bermotivasi tinggi serta berempati untuk menyumbang secara strategik dan berprestasi kepada UPSI.
Sebagai gimik perasmian Amin telah mendendangkan lagu ‘Warisan’ yang pernah dipopularkan oleh arwah Sudirman Hj. Arshad bagi menaikkan semangat kerja dan motivasi kakitangan untuk terus berbakti kepada UPSI selagi hayat dikandung badan.
Terdahulu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin dalam ucapannya berkata kakitangan perlu menjadi contoh (role model) kepada mahasiswa dengan berperanan sebagai ibu bapa kedua serta pendidik kepada bakal pendidik di UPSI dengan menerapkan nilai-nilai murni yang digariskan oleh Naib Canselor iaitu Adab dan Akhlak.

Justeru, beliau menggesa seluruh warga JHEPA untuk memastikan semua perancangan aktiviti melibatkan pemerkasaan sahsiah pelajar dapat dilaksanakan sejajar dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat Madani. Antara inisiatif yang sedang berjalan bagi tahun 2023 termasuklah pelaksanaan Kem Bina Insan Bitara, Program Silang Budaya Malaysia-Indonesia dan UPSI Leadership Colloquium.

Sebahagian daripada 160 peserta yang hadir menjayakan Retreat JHEPA 2023.