Oleh: Afifah Adriana binti Aznan (UCTC)
Batang Kali – ResQ Team UPSI bantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak tujuh tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Batang Kali berhampiran Desa Alam Ria, Hulu Selangor sejak 5 Julai (Rabu) lalu.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata operasi yang dijalankan ini merupakan inisiatif dalam membantu kanak-kanak lemas yang juga merupakan anak kepada kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ResQ Team UPSI dengan menggunakan teknik ‘water surface searching’ pada laluan sungai kawasan kejadian. Operasi ini juga turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) sebagai ikhtiar pencarian.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Norkhalid Salimin menziarahi dan menyantuni keluarga Dr. Nurhaida Kamaruddin, Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik di atas musibah yang menimpa.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bagi pihak pengurusan universiti dengan memberi kata semangat selain bertanya khabar serta situasi yang dihadapi Dr. Nurhaida di kediamannya semalam.
Dalam pada itu, Md Amin juga berharap dengan kerjasama seramai 14 sukarelawan ResQ Team UPSI dengan membawa dua set raft arus deras ini sedikit sebanyak mampu membantu usaha pencarian kanak-kanak tersebut. Seluruh warga UPSI juga turut mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan diberikan ketabahan serta kesabaran buat keluarga mangsa dalam menghadapi ujian ini.
Para anggota dan sukarelawan semasa menjalankan misi SAR.